Perdana menteri melontarkan satu lagi isyarat bahawa pilihan raya umum
hanya akan diadakan pada tahun depan apabila mengumumkan bahawa bayaran
Bantuan Rakyat 1Malaysia akan mula disalurkan pada awal 2013.
"Ia akan dibayar
mulai awal tahun 2013," kata Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya
ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat kelmarin.
Pembayaran itu
melibatkan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada isirumah berpendapatan
bawah RM3,000 dan bayaran RM250 kepada individu bujang berpendapatan
bawah RM2,000.
Najib berkata individu bujang berusia 21 tahun ke atas layak menerima bantuan tersebut.
Katanya, bantuan
berkenaan akan memberi manfaat kepada sebanyak RM4.3 juta isirumah dan
juga seramai 2.7 juta warga bujang – melibatkan peruntukan RM3 bilion.
"Hakikatnya,
bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah
populis malah manifestasi sebuah kerajaan bertanggungjawab dan mampu
mengurus kewangan negara dengan berhemah," katanya lagi dalam ucapannya.
Selain bayaran
BR1M, Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan akan membayar bonus
sebanyak setengah bulan gaji lagi kepada penjawat awam pada bulan
Januari depan.
Bayaran berkenaan
adalah sebahagian daripada pakej bayaran sebanyak sebulan setengah gaji
yang diumumkannya dalam belanjawan tersebut.
Najib menyifatkan
pembentangan belanjawannya bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera
Rakyat: Sebuah Janji Ditepati" hari ini sebagai penghargaan kepada
rakyat Malaysia kerana terus meletakkan kepercayaan kepada kerajaan.
Dalam belanjawan 2013 berjumlah RM251.6 bilion itu Najib mengumumkan
subsidi berjumlah RM37.6 bilion, berkurangan daripada jumlah subsidi
RM42.4 bilion dalam belanjawan 2012.
No comments:
Post a Comment