KUALA LUMPUR 26 Sept. - Sistem pajak rumah lebih
sesuai dilaksanakan jika ia hanya membabitkan perumahan kos rendah atau
di bawah harga RM100,000.
Penganalisis ekonomi, Prof. Amir Baharuddin berkata, sekiranya skim
tersebut dilaksanakan secara menyeluruh, ia akan menjadi satu perkara
palsu pada nilai dan kos rumah.
"Contohnya jika ada 100 orang pembeli maka permintaan akan menjadi 200 orang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan supaya syarikat-syarikat pelaburan kerajaan
(GLIC) dan syarikat milik kerajaan (GLC) mengkaji menggunakan skim
anuiti yang menghentikan penjualan rumah, sebaliknya memberi pajakan
kepada golongan yang tidak berkemampuan.
Menerusi skim tersebut, rumah-rumah akan dipajak kepada golongan
memerlukan sehingga akhir hayat mereka pada kadar jauh lebih rendah
berbanding membeli atau menyewa rumah.
Menurut Amir, pihak kerajaan perlu mengawal harga rumah dan mengira
segala kos keuntungan dengan betul serta tidak boleh membiarkannya.
"Melihat skim tersebut dengan skim sedia ada, ia tidak banyak beza
dan jika ia kena pada sasaran, maka ia akan berjaya. Rakyat mungkin akan
sokong jika ia membabitkan perumahan kos rendah," ujarnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani
berkata, skim tersebut perlu dikaji secara menyeluruh sebelum
dilaksanakan.
"Jika kos sesebuah rumah itu tinggi maka nilai pajakan juga akan
tinggi. Ini yang menjadi masalah untuk mengawal harga rumah," katanya.
Menurut beliau, jika ia bergantung kepada permintaan tinggi dari
pembeli dan harga rumah juga akan naik mendadak, kemungkinan skim
tersebut tidak berkesan untuk dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment