SHAH ALAM - Dilihat sebagai cadangan belanjawan yang lebih komprehensif
berbanding tahun lalu, Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengemukakan
Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menyasarkan "lebihan wang dalam saku
rakyat."
Dalam dokumen cadangan belanjawan yang diumumkan di bangunan Parlimen
petang ini, perikatan tiga parti itu, dalam usaha menuju ke Putrajaya
berkata, cadangan pihaknya akan membolehkan rakyat memiliki pendapatan
boleh diguna pakai tambahan sebanyak RM930 setiap bulan.
Angka itu adalah hasil penjimatan harga kereta yang lebih rendah iaitu
sebanyak RM70, penjimatan daripada penghapusan tol (RM50), penghapusan
pinjaman bagi peminjam PTPTN yang layak (RM200), elaun pengajaran khas
yang dijanjikan dalam Buku Jingga (RM500), sumbangan kerajaan ke dalam
Caruman Wanita Nasional (RM50) dan penjimatan daripada harga makanan dan
barangan susulan kos minyak dan pengangkutan (RM60).
Bajet PR 2013 akan menelan kos RM234 bilion dengan pendapatan sebanyak RM197 bilion, bermakna defisit 3.5 peratus.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,
pihaknya akan membangkitkan isu intergriti dan unjuran ekonomi negara
dalam Bajet 2013 kerajaan Barisan Nasional (BN) akan dibahaskan di Dewan
Rakyat mulai minggu depan.
Menurutnya, kedua isu itu perlu dipandang serius kerana kegagalan
kerajaan BN untuk mencapai tahap unjuran pertumbuhan ekonomi yang
ditetapkan pada setiap tahun.
"Kegagalan unjuran dan unjuran defisit tidak pernah mencapai oleh
kerajaan BN, jika satu peratus kegagalan pertumbuhan ekonomi bermakna
gagal berkembang RM20 bilion setahun.
"Isu yang dibawa oleh PR akan dipandang serius dan bajet yang dibentang
kerajaan Jumaat ini perlu dipandang serius," katanya pada sidang media
sempena Majlis Pembentangan Bajet Pakatan Rakyat 2013 yang bertemakan
"Ekonomi rakyat negara berkat".
Sebelum ini, ramai pemimpin BN mendakwa jika mengikut Buku Jingga yang menjadi panduan PR akan memufliskan negara.
Dalam pada itu Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata PR sebulat suara
bersetuju untuk menetapkan enam peratus pertumbuhan setiap tahun di
negeri-negeri PR untuk membentuk ekonomi yang mampan.
Tambahnya, Bajet PR 2013 mengambil kira pertumbuhan ekonomi yang diagihkan sama rata kepada rakyat tanpa mengira kaum.
No comments:
Post a Comment