PUTRAJAYA 14 Sept. - Bekas majikan Nirmala Bonat, Yim Pek Ha wajar
dibebaskan daripada tuduhan mencederakan bekas pembantu rumah
warganegara Indonesia itu kerana kecederaan yang dialaminya adalah
hasil perbuatan sendiri, demikian Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.
Salah seorang peguam yang mewakilinya, Akbardin Abdul Kader
berhujah, mahkamah terdahulu gagal memberi pertimbangan bahawa Nirmala
mengalami sedikit terencat akal yang menyebabkan dia cenderung
mencederakan dirinya.
Peguam bela berhujah, ia ditambah dengan kegagalan pihak pendakwaan
memanggil saksi-saksinya bagi mematahkan pembelaan yang menyatakan
kecederaan itu hasil perbuatan sendiri.
Akbardin turut menghujahkan, pihak pendakwaan juga gagal memanggil
dan menawarkan kepada pihak pembelaan seorang saksi penting yang
mengenalinya sejak kecil bagi memberi keterangan berhubung tahap
pemikiran Nirmala.
Terdahulu, seorang lagi peguam, Datuk Jagjit Singh berhujah, tuduhan
yang dihadapi oleh Pek Ha tidak sempurna kerana ia tidak menyatakan
secara tepat masa kejadian menyebabkan pihaknya tidak dapat
mengemukakan alibi bagi menyokong kes pembelaan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Clement Allan Skinner yang
bersidang bersama Datuk Linton Albert dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim
kemudian menetapkan 1 Oktober depan bagi penghujahan pihak pendakwaan.
Pada 3 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman penjara
daripada 18 tahun kepada 12 tahun terhadap Pek Ha atas tiga tuduhan
mencederakan Nirmala. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment