REMAJA yang hebat ialah apabila tidak gentar berhadapan dengan belenggu
masalah atau cabaran yang mendatang ketika mencipta impian. Namun, jika
gagal ia tidak menjadi halangan untuk meneruskan impian yang
dicita-citakan. Pepatah Melayu mengatakan, ‘Di mana ada kemahuan di situ
ada jalan.’ Pepatah Arab pula mengatakan ‘Man jadda wa jada’, siapa
yang bersungguh-sungguh pasti akan berjaya.
Kemiskinan dan kekurangan harta tidak boleh dijadikan alasan untuk
malas berusaha. Contoh yang baik dalam hal ini ialah kejayaan yang
dicapai oleh Nur Nik Madihah. Seorang anak nelayan yang serba
kekurangan. Cuba anakanda lihat, kebanyakan yang berjaya adalah berasal
dari kampung, anak pesawah, penoreh getah, petani dan seumpamanya.
Mengapa?
Kerana mereka ada impian dan cita-cita tinggi di samping mahu mengubah
kehidupan yang serba kekurangan. Ibu bapa mana yang tidak mahu lihat
anaknya berjaya?
Berusahalah anakanda... walau apa jua cita-citamu, ayahanda dan bonda
sentiasa mendoakan. Cuba Lihat lagi mereka yang berjaya dalam kehidupan
misalnya penulis novel Indonesia iaitu Andrea Hirata.
Beliau asalnya hanyalah seorang anak miskin dan tempat belajarnya amat
daif. Sekolahnya dahulu hanyalah sebuah bangunan usang yang hampir roboh
dan tidak punya sebarang kemudahan seperti hari ini. Pelajarnya cuma
sepuluh orang, namun semangat belajarnya hebat dan beliau telah berjaya
mencapai cita-citanya.
Ayahanda tidak pula nafikan mereka yang lahir dalam keluarga yang mewah
juga pandai kerana mereka juga berjaya menjejakkan kaki ke menara
gading.
Terfikirkah kita tentang kehidupan jika tiada cita-cita? Agaknya di
mana kita akan tinggal? Apa pula pekerjaan kita suatu hari kelak?
Bukalah mata dan luaskan pandangan mata hati. Lihatlah keadaan mereka
yang tiada cita-cita dalam kehidupan. Mereka akan menyesal
selama-lamanya dan terpaksa mengharungi masa depan yang suram.
Tidak kurang juga ada yang menjadi beban masyarakat. Lebih teruk jika
ada yang menjadi penagih dadah, mat rempit atau peragut jalanan. Jiwa
ayahanda sengsara apabila melihat kebanyakan mangsa adalah kalangan umat
Islam. Lalu, ayahanda bertanya sendiri ‘Apakah itu tempat terbaik buat
umat yang telah diberi ajaran sempurna oleh baginda Muhammad s.a.w?’’
Anakku,
Mengapa tidak dijadikan sahabat terdahulu sebagai idola untuk menjadi
umat bahagia dunia dan akhirat? Bacalah tentang Abu Bakar, Ibnu Abbas,
Umar Al-Khattab dan teman-temannya, serta ambillah iktibar daripada
kisah mereka agar hidup lebih berjaya dan mampu berkhidmat kepada Islam
pula.
Jika hari ini, contohilah tokoh-tokoh yang berwibawa dan profesional
yang telah berjaya memberi sumbangan kepada negara seperti Syed Naquib
Al-Attas, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Dato’ Dr. Zeti Aziz atau Shaikh
Muzaffar. Terokailah jasa-jasa yang telah mereka taburi untuk negara,
mudah-mudahan dengannya anakanda mampu menjadi yang lebih baik lagi.
Bagaimana untuk membina negara jika tiada cita-cita untuk menjadi orang
berjasa? Apakah hanya mahu mengharapkan orang luar untuk mendirikan
universiti terkenal memperkukuh modal insan, memajukan ummah yang
ketinggalan, membangun ekonomi, menguatkan pertahanan negara, menjadikan
negara makmur dan aman? Semuanya itu tidak mungkin wujud jika anakanda
dan remaja lain hari ini tidak menanam cita-cita dan bekerja keras untuk
mencapainya.
Ini adalahamanah ALLAH yang mesti direalisasikan. Berusahalah untuk melaksanakannya.
No comments:
Post a Comment