Semalam, kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) dan Pro-Aspirasi (pro-A)
bertembung lagi bagi memilih anggota Majlis Perwakilan Mahasiswa dalam
pilihan raya kampus yang sering menarik perhatian umum serta pihak
media.
Proses pengundian di lebih 15 institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bermula jam 8 pagi dan keputusannya
dijangka diketahui sewal jam 6 petang.
Bagaimanapun, tumpuan kini
terarah kepada tujuh kampus perdana IPTA yang setiap tahun mendapat
liputan 'panas' khususnya mengenai kumpulan pro-M yang mendakwa terpaksa
berdepan kekangan pihak pentadbiran universiti.
Persoalannya,
mampukah pro-M mengekalkan penguasaan mereka di tiga kampus utama IPTA -
UM, UKM dan UIA dan pada masa yang sama, menambah kerusi di
kampus-kampus lain.
Atau, apakah pro-Aspirasi mampu kembali berkuasa, sekaligus mengukuh 'cengkaman' dan prestasi mereka di kampus berkenaan?
Dalam
pilihan raya lalu, pro-M menang 23 daripada 41 kerusi yang
dipertandingkan di UM, di UKM (22 daripada 37 kerusi) dan UIA (23
daripada 26 kerusi). Selebihnya dikuasai pro-A.
Kampus-kampus
IPTA yang lain yang dikuasai pro-A ialah Universiti Putra Malaysia
(UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia
(USM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).
Pengerusi
pro-M Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto mengakui mereka bakal menghadapi
pertarungan sengit untuk mengekalkan penguasaannya, khususnya di UM,
sekalipun yakin turut mampu mengekalkan penguasaan di UIA dan UKM.
"Pilihan
raya kampus tahun ini agak sengit di UM... Kita berdepan dengan
kekangan seperti tidak boleh berkempen secara bebas di kolej kediaman
khusus kepada pelajar tahun satu, yang belum pernah mengundi," dakwanya.
"Di
UIA, kita yakin boleh menang kerana secara tradisi memang kekuatan
jentera dan sokongan kita ada di sana. Sokongan mereka (kepada pro-M)
tidak berbelah bagi," kata Edikuop sambil mendakwa Ops 2020 turut digunakan untuk memenangkan calon Penggerak Mahasiswa.
Edikoup
juga berkata pihaknya yakin mampu menambah dua atau tiga kerusi lagi,
sekalipun mengakui sukar menang di USM, UTM, UPM dan Upsi antaranya
disebabkan pertembungan tiga penjuru dengan calon bebas dan pro-A.
Berbeza
dengan pro-M, Jurucakap pro-A, Mohd Hafiz Ariffin dipetik oleh Sinar
Harian Online sebagai berkata pihaknya yakin mampu mengulangi
kemenangan besar di 15 pusat pengajian tinggi sepertimana lima kampus
sebelum ini.
“Kami memang sasarkan kemenangan kerana kami
berpegang pada strategi khusus di mana kepimpinan bakal calon digilap
dari akar umbi, bermula dari kelab dan persatuan yang ada di universiti.
“Mereka
lebih dekat dengan mahasiswa sejak awal, jadi lebih mudah untuk
mendekati mahasiswa pada masa akan datang,” katanya dalam laporan
tersebut.
Kampus lain yang bakal melangsungkan pilihan raya
kampus serentak esok antaranya Universiti Malaysia Pahang (UMP),
Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),
Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT),
Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tenaga Nasional (Uniten),
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Kuala
Lumpur (UniKL) dan Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak).
Dalam
pilihan raya kampus pada 20 September lalu, pro-Aspirasi mencatat
kemenangan besar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti
Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),
Universiti Teknikal Malaysia (UteM) dan Universiti Tun Hussein Malaysia
(UTHM).
No comments:
Post a Comment