KLANG 13 Sept. - Baru sebulan diikat jamin dalam satu kes rogol gadis
bawah umur, seorang pemandu van hari ini sekali lagi didakwa di
Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan merogol tiga pelajar sekolah,
termasuk kejadian yang didakwa berlaku 10 hari lalu.
Tertuduh Ahmad Mustapah Ridwan, 20, mengaku bersalah bagi satu tuduhan sahaja, namun minta dibicarakan atas tiga tuduhan lain.
Lelaki itu mengaku merogol gadis berusia 14 tahun lima bulan pada
pukul 11.30 malam, 3 September lalu di rumahnya di No. 369-21, Jalan
Mohd. Yamin, Kampung Delek Kiri, dekat sini.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah merogol seorang lagi
pelajar perempuan berusia 13 tahun tiga bulan di rumah yang sama
sebanyak dua kali.
Kejadian itu didakwa berlaku antara pukul 12.39 tengah hari dan 6.30
petang, pada 1 Mac lalu dan antara pukul 8.20 malam dan 9.30 malam, 30
Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun, maksimum 20 tahun dan
sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hafiza Sauni tidak mencadangkan sebarang
jaminan memandangkan tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ketika
masih dalam tempoh jaminan bagi pertuduhan rogol di mahkamah sama
beberapa bulan lalu.
Hakim Norsyaridah Awang menetapkan 8 Oktober ini, sebutan semula kes itu.
Di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa merogol pelajar berusia 15
tahun di alamat yang sama pada pukul 9 malam, 19 Februari tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azilah Mat juga tidak mencadangkan sebarang jaminan atas alasan yang sama dengan kes terdahulu.
Norsyaridah menetapkan 23 Oktober ini, bagi sebutan semula kes itu.
No comments:
Post a Comment