KUALA LUMPUR - Gabungan Mahasiswa SeMalaysia (Gamis) mendesak
Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia(UIAM) mendedahkan keputusan pengundian kepada umum biarpun
sistem e-pengundian dikatakan bermasalah.
Naib Presidennya Mohd Eikhwan M.Ali berkata langkah itu wajar dilakukan
segera supaya mahasiswa boleh menilai kesilapan yang berlaku sekaligus
dapat mengembalikan keyakinan mereka terhadap pihak pengurusan PRK UIAM.
"Kami mahukan jawatankuasa itu menunjukkan keputusan pengundian yang
dihasilkan oleh sistem sekalipun ia silap dan tunjukkan setiap calon itu
menang berapa undi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Semalam UIAM terpaksa menangguhkan pilihan raya kampus ekoran masalah
teknikal terhadap sistem e-pengundian dan mecadangkan kepada Senat
supaya satu lagi pilihan raya kampus diadakan secara manual.
Bagaimanapun Mohd Eikhwan mempertikaikan kejadian itu kerana sistem
berkenaan telah diguna pakai sejak 2004 dan difahamkan beberapa hari
sebelum PRK UIAM dijalankan, simulasi dilaksanakan bagi mengukur tahap
keupayaan e-pengundian itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment