TANJONG KARANG,15 SEPT : Kira-kira 300 penyokong Pakatan Rakyat dan
pengusaha sarang burung walet mengadakan perhimpunan aman bagi membantah
sekatan terhadap industri itu yang didakwa mengakibatkan kerugian
kira-kira RM 5 bilion.
Keadaan aman perhimpunan itu yang dibuat di pejabat bahagian Umno
Tanjong Karang, membuktikan bahawa Pakatan menunjukkan semangat
demokrasi yang sebenar di dalam penganjuran himpunan bantahan suara.
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham
Shaharin yang berada di situ berkata ini berbeza dengan tindakan
segelintir penyokong Umno-BN yang sebelum ini membuat kacau di program
Pakatan.
Himpunan itu diketuai Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, Penyelaras Pusat
Khidmat Masyarakat DUN Permatang, Yahya Shahri dan Pengerusi Gabungan
Persatuan-Persatuan Sarang Burung Walet SeMalaysia, Lim Lai Soon.
Lim mendesak pihak kerajaan pusat menghentikan monopoli ekspot burung
walet ke China yang didakwa dikuasai oleh sebuah persatuan lain yang
bersekongkol dengan pegawai-pegawai tertentu.
“Kami tidak bersetuju dengan perwakilan gabungan itu kerana hanya
mewakili segelintir peniaga sarang burung walet,” kata Lim semasa
menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani,
Datuk Seri Noh Omar.
Memorandum itu dibacakan dihadapan Noh yang pada masa sama mengadakan Majlis Aidilfitri di tapak tersebut.
Noh berkata beliau akan mengambil tanggungjawab bagi menyelesaikan masalah yang diutarakan.
Perhimpunan aman itu dijalankan dalam suasana terkawal dengan
pemerhatian kira-kira 50 anggota polis yang diketuai oleh OCPD Daerah
Kuala Selangor, Taib Mahmud.
Kedua-dua pihak kemudianya beredar dengan baik dan mengadakan sidang media di kawasan berbeza.
Perhimpunan berakhir pada jam 12.30 tengahari dan para peserta bersurai aman tanpa kejadian yang tidak dingini.
Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan itu, Badrul Hisham
berkata, acara ini menunjukkan sekali lagi yang himpunan suara rakyat
sebenarnya boleh dilakukan dalam keadaan yang saling menghormati tanpa
provokasi.
“Hari ini kita menunjukkan kita menjadi masyarakat bertamadun. Kita
tidak datang pejabat orang dengan menyerang dan membaling cat merah ke
bas dan tiada maki hamun.
“Kita beri mereka berucap berjam-jam kerana itu adalah rumah mereka dan kita hormat,” katanya.
No comments:
Post a Comment