SHAH ALAM - Isu berkenaan hukum hudud masih dilihat sebagai perkara yang
boleh menggugat kesepakatan dalam Pakatan Rakyat (PR) menjelang Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU13).
Kajian kendalian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti
Malaya (Umcedel) menunjukkan bahawa sekitar 40 peratus responden
kalangan pengundi Melayu, Cina dan India percaya bahawa isu pelaksanaan
hudud akan menjejaskan kesepakatan parti-parti dalam PR.
PR dianggotai Pas, PKR dan DAP.
Dari segi pendirian responden, 39 peratus pengundi Melayu memihak
kepada soalan itu, dan ia disusuli 40 peratus (Cina) dan 42 peratus
(India).
Dalam pada itu, 33 peratus pengundi Melayu tidak setuju dengan soalan
berkenaan. Paras pengundi Cina dan India tidak bersetuju masing-masing
sebanyak 26 peratus dan 14 peratus.
Peratusan tidak pasti pula sebanyak 28 peratus (Melayu), 33 peratus (Cina) dan 44 peratus (India).
Hasil kajian Umcedel ini dikeluarkan ketika polemik mengenai hukum
hudud, yang enakmennya diluluskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan
Pas dua dekad lalu, berterusan, lebih-lebih ketika ramai meramalkan
PRU13 akan diadakan dalam waktu terdekat.
Yang terbaru semalam, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa
menggesa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta maaf kepada
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar
Kelantan, kerana pendirian parti itu menolak hukum hudud.
Bulan lalu, Nasharudin minta Pas keluar PR kerana Pengerusi DAP
Kebangsaan, Karpal Singh terus menentang pelaksanaan hukum hudud.
Pas yang memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004 juga menggubal enakmen sedemikian.
Berhubung soalan sama ada pelaksanaan hudud satu kempen politik Pas
untuk meraih undi dalam pilihan raya, 43 peratus pengundi Melayu tidak
bersetuju.
Peratus pengundi Melayu bersetuju hanya 36 peratus.
Bagaimanapun pengundi Cina dan India yang beranggapan Pas mahu meraih
undi lebih tinggi berbanding orang Melayu iaitu masing-masing 44 dan 42
peratus.
Pengundi Cina dan India yang mengatakan tidak adalah sebanyak 28 dan 20 peratus.
No comments:
Post a Comment