Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 14 September 2012

Nasional Jutawan FELDA disaman anak

Seremban: Perbicaraan kes seorang wanita menyaman bapanya, seorang jutawan Felda LBJ bagi menuntut harta sepencarian arwah ibunya di Mahkamah Tinggi Syariah semalam ditangguhkan kepada 12 Oktober depan.

Hakim Kamal Basha Muhammad menangguhkan kes bagi membolehkan plaintif, Nozay Rashid, 44 menyambung keterangan dan memanggil saksi bagi menyokong tuntutannya.
Nozay yang juga anak keenam defendan daripada tujuh beradik, memfailkan saman terhadap bapanya, Rashid Jani, 75, pada 16 Februari lalu dan perbicaraan bermula 15 Mac.

Tuntut hak arwah ibu Dalam tuntutannya, Nozay memohon mahkamah mengisytiharkan separuh daripada kepentingan sebidang tanah milik bapanya yang dianggarkan bernilai RM160,000 sebagai harta sepencarian bagi pihak ibunya, Kering Aman, 76.

Plaintif memohon bahagian ibunya dibahagikan mengikut faraid kepada waris lain. Dia juga memohon nama ibunya didaftarkan sebagai pemilik bersama dalam surat hak milik hartanah itu.

Dalam penyata tuntutan, plaintif mendakwa ibu bapanya berkahwin pada 1953 dan dikurniakan enam anak perempuan dan seorang lelaki yang kini berusia 40 hingga 57 tahun. Selepas kematian ibunya pada 2008, bapanya berkahwin dengan seorang wanita Thailand berusia 33 tahun pada September 2009 dan menetap di hartanah itu bersama dua anak tiri.

Nozay diwakili peguam Maishiah Hassan, manakala Rashid diwakili Hanif Hassan.
Sementara itu, Hanif berkata, Rashid yang kecewa dengan tindakan anaknya, memfailkan pembelaan dan membuat enam tuntutan balas.

Kehidupan tak terurus


Dalam tuntutannya Rashid mendakwa kehidupannya tidak terurus selepas kematian isteri pertama.

“Pada 2011, anak guam saya jatuh sakit tetapi plaintif dan anak lain tidak ambil peduli kesihatan bapa mereka. Tujuan defendan menjual hartanah itu adalah untuk menampung perbelanjaan harian serta perubatannya,” katanya.

Katanya, pada 1998 anak guamnya mendapat durian runtuh berjumlah RM1.6 juta hasil pengambilan tanah ladang kira-kira empat hektar oleh kerajaan negeri dan membahagikan wang kepada arwah isteri sebanyak RM200,000, manakala tujuh anak termasuk plaintif memperoleh RM50,000 seorang.

Tuntutan balas lain ialah menuntut plaintif memulangkan wang tunai RM50,000 susulan daripada pembatalan hibah (pemberian hadiah harta dari orang tua masing-masing).

Defendan juga juga menuntut hak bagi harta milik arwah isterinya seperti sebuah rumah yang kini diduduki plaintif, wang dalam akaun Tabung Haji serta barangan kemas yang ada pada plaintif untuk dibahagikan mengikut faraid kepada waris lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...