Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday, 1 December 2011

Pemain Harimau Muda gelap mata?

MUSLIM...tidak bersama Harimau Muda A musim depan
AKSI memikat pemain Harimau Muda A ketika membarisi skuad juara Sukan Sea Indonesia dan skuad Olimpik negara membuatkan mereka kini diburu pasukan bola sepak negeri dan kelab bagi musim baru Liga Malaysia.
Pemain-pemain ini digilap menerusi program Sekolah Sukan Bukit Jalil dan diberikan pendedahan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan seharusnya terus kekal di bawah bimbingan jurulatih Ong Kim Swee.

Namun persatuan negeri dan kelab yang sepatutnya berusaha melahirkan pemain muda sendiri mula berlumba-lumba mengumpan bayaran gaji lumayan kepada pemain Harimau Muda A.
Menurut Kim Swee, beliau menasihatkan anak buahnya supaya tidak ‘gelap mata’ dengan tawaran gaji lumayan sebaliknya kekal bersama skuad khususnya pemain berusia bawah 21 tahun sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Myanmar 2013 dan Sukan Asia Incheon 2014.

“Memang FAM tak mampu menawarkan gaji setinggi yang diberikan pasukan luar yang tak masuk akal tapi ini semua terpulang kepada pemain. Jika mereka masih mahu terus belajar dan mendapat pendedahan di peringkat lebih tinggi, mereka harus terus bersama dengan pasukan ini.

“Jika mereka bersama dengan Harimau Muda A untuk tempoh dua tahun lagi, mereka boleh dapat dua-tiga kali ganda apa yang ditawarkan sekarang. Saya nasihatkan mereka supaya jangan terlalu memikirkan duit,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.

Kim Swee berkata, setakat ini beliau mengesahkan tiga pemain, K Gurusamy (pemain tengah), Mohd Muslim Ahmad (pertahanan) dan Abdul Shukur Jusoh (pemain tengah) tidak bersama Harimau Muda A musim depan.

“Mereka sendiri meminta untuk dilepaskan dan saya menerima permohonan mereka itu atas faktor umur yang kini sudah berusia 22 dan 23 tahun,” katanya.
Gurusamy dilapor sudah mengikat kontrak bersama Selangor manakala Muslim bakal menyarung jersi negeri kelahiran, Terengganu.

Mengenai barisan pemain yang akan bersama Harimau Muda A bagi menyertai Liga Singapura musim depan, Kim Swee akan mengumumkan senarai penuh skuadnya minggu depan.

“Minggu depan saya akan umumkan pemain yang menerima kontrak bersama Harimau Muda A. Mengenai penyertaan di Liga Singapura saya perlu mengadakan perbincangan terakhir bersama FAM,” jelasnya.

Sementara itu, Kim Swee menyenaraikan 30 pemain pelatih untuk menjalani latihan pusat skuad Olimpik bermula Isnin ini sebelum berangkat ke Sydney, Australia untuk mengharungi tiga perlawanan persahabatan dengan kelab Liga-A pada 10 hingga 22 Disember ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...