Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday, 30 December 2011

Tiga kanak-kanak dikhuatiri dijangkiti Leptospirosis


JERANTUT - Tiga kanak-kanak Orang Asli dari Kampung Sungai Lintah di sini, dimasukkan ke Hospital Jerantut semalam selepas dikhuatiri dijangkiti virus air kencing tikus atau leptospirosis.

Menurut sumber hospital tersebut, kanak-kanak Orang Asli berkenaan, Arini Mary a/p Yusof, 4, Muliana a/p Yusof, 5, dan sepupu mereka, Jun a/p Man, 11, kini ditempatkan di bilik berasingan di wad kanak-kanak hospital itu.

"Ketiga-tiga mereka didapati mengalami komplikasi demam kuning, sakit kepala dan lesu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurut sumber berkenaan, pihak hospital telah mengambil sampel darah mereka dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu ini.

"Kanak-kanak ini sudah ditempatkan di bilik berasingan untuk memudahkan pegawai perubatan memantau rawatan dan perkembangan kesihatannya," katanya.

Menurut sumber itu lagi, jika keadaan ketiga-tiga kanak-kanak itu semakin teruk, mereka akan dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, ibu kepada Arini Mary dan Muliana,  Musliza a/p Batin Bakar, 30, ketika ditemui di sini, berkata anaknya dan sepupu mereka sebelum itu dipercayai minum dan makan di satu majlis kenduri di kampung Orang Asli Sungai Petai, dekat sini baru-baru ini.

Musliza berkata selepas pulang dari kenduri itu, anaknya dan sepupunya itu mengalami demam dan tidak berselera makan.

"Melihat keadaan mereka semakin teruk, mereka kemudiannya di bawa ke hospital dan kini ditahan di wad," katanya.
  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...