Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday, 27 December 2011

Jualan Raja Pop mencecah 150,000 unit


SUKAR untuk membuatkan lelaki bersuara hebat ini mengeluarkan kata-kata. Namun, apabila Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 52, mula meluahkan kata-kata bahawa dia kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku terhadap dirinya, itu bermakna dia benar-benar terkilan dengan apa yang terjadi.
Rajuk Jamal bukan sebarang apabila dia dikatakan melangkah keluar dan tidak menoleh lagi ke rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) tempat di mana hampir lima tahun dia menumpang hidup, membina keyakinan dan semangat hidup akibat tidak yakin hidup bersendirian dengan cabaran dan ujian dunia luar.
Tali persahabatan yang dibina bersama penghuni-penghuni Pengasih dan juga pengerusi Pengasih, Datuk Yunus Pathi selama hampir lima tahun rupa-rupanya bukan menjadi simpulan kemas sebaliknya menzahirkan rasa kurang senang di kalangan mereka terhadap penyanyi berasal dari Ipoh, Perak itu.
Dia didakwa tidak memberi sebarang sumbangan ketika menghuni secara istimewa di rumah itu sebaliknya hanya memberi perbelanjaan makan minum untuk dirinya sahaja.
Malah, Jamal juga boleh dianggap memecahkan rekod sebagai penghuni paling lama menginap di Pengasih tanpa dikenakan bayaran yang sepatutnya.
Dakwa Yunus lagi, tempoh penghuni yang menjalani pemulihan dadah di pusat itu dikategorikan kepada tiga kategori iaitu tiga bulan, enam bulan dan setahun sebelum dibenarkan keluar bagi memulakan kehidupan baharu.
Kini jiwanya tenang, setenang air laut yang tidak dipukul ombak kerana tidak lagi dihujani kata-kata cercaan yang mengatakan dia tidak menyumbang apa-apa pun biarpun mempunyai duit yang banyak setelah keluar daripada rumah Pengasih sejak awal November lalu.
"Saya akui lebih tenang berada di luar (Pengasih) daripada duduk di dalam rumah itu. Peranan Pengasih sepatutnya menyokong penghuninya dengan memberi semangat untuk menjadi lebih positif dan bukannya memberi tekanan kepada mereka dengan menyebarkan dakwaan-dakwaan yang tidak betul sekali gus merosakkan nama saya," luahnya kecewa ketika ditemui selepas sidang media penganjuran Karnival Sehari Bersama Jamal dan pelancaran album baharu Raja Pop 2 di pejabat Warner Music, Kuala Lumpur.
Jamal kini terpaksa menyewa di ibu kota sementara menunggu rumahnya siap sepenuhnya pada bulan Februari 2012.
Kehidupan tenang Jamal itu juga diserikan dengan dua orang anaknya iaitu Osama Yamani, 9, dan Ahmad Zaki Yamani, 5, yang dikatakan bakal menetap bersama dengannya apabila rumah tersebut siap.



Album
Usai kemelut dirinya dihadapi dengan tenang, Jamal juga boleh menarik nafas lega apabila album Raja Pop miliknya dikatakan mencapai jualan sebanyak 150,000 unit. Malah, bekas juara Bintang RTM tahun 1979 itu juga akan muncul dengan album terkininya Raja Pop 2.
Menariknya, kesemua lagu yang terdapat di dalam album itu merupakan lagu-lagu kesukaan Jamal sendiri.
"Tercetusnya idea untuk menghasilkan album Raja Pop 2 ini apabila saya fikir saya perlu ada produk baharu. Berpandukan album Raja Pop saya terfikir pula untuk menghasilkan album Raja Pop 2 dengan mengumpul lagu-lagu lama yang menjadi kesukaan saya," ujarnya.
Raja Pop 2 menampilkan lagu-lagu seniman tahun 50-an dan 60-an seperti S. Effendy, Yopie Latul dan Rahim Maarof.
Bertindak buat julung-julung kalinya sebagai penerbit eksekutif bagi album ini, Jamal juga bekerjasama dengan penerbit lagu Kalau Mencari Teman nyanyian Ziana Zain, Razman untuk pembikinan sebuah lagu baharu iaitu Bahagia Sementara.
Lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini adalah lagu Jangan Kau Rayu, Lagu Rindu, Rayuan Maut, Tangisan Di Waktu Malam, Rundung Derita, Manis Manja dan Secupak Dua Cupak.
"Terdapat 10 buah lagu di dalam album di mana dua daripadanya adalah lagu baharu. Selain lagu Bahagia Sementara hasil penulisan lirik wartawan Utusan Malaysia, Shaharudin Mustapha, lagu baharu yang terdapat dalam album ini ialah lagu duet saya bersama Malique iaitu Aku Maafkan Kamu," tuturnya mengenai lagu yang telah digubah semula dengan susunan muzik yang bersesuaian.
Luah Jamal, bila tiba masanya nanti dia akan menjelaskan isu ini dalam satu sidang media serta menunjukkan bukti termasuk dokumen bagi menafikan segala dakwaan pengerusi Pengasih itu.
"Apabila tiba masa yang sesuai saya akan membuat kenyataan bagi menjelaskan perkara sebenar dan membersih kembali nama saya. Biarlah buat masa sekarang saya fokus dulu dengan Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillahyang bakal berlangsung 7 Januari 2012.
Karnival
Tidak lekang dengan undangan nyanyian setiap minggu, Jamal juga kini mempunyai produk penjagaan kulit sendiri iaitu D'Jas yang dikeluarkan oleh syarikat miliknya, Bintang Channel.



"Produk itu sudah berada dipasaran dan ia akan dilancarkan secara rasmi bersama dengan album Raja Pop 2 pada Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillah yang bakal berlangsung pada 7 Januari 2012 di pusat beli-belah Maju Junction.
"Karnival ini dianjurkan melalui idea saya sendiri. Saya mahu berkongsi rasa dan mengumpul semua peminat saya pada karnival itu nanti," ungkapnya mengenai karnival yang turut mendapat kerjasama syarikat Warner Music Malaysia dan juga pusat beli-belah Maju Junction itu.
Jelasnya, karnival itu akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 6 petang dan acara-acara yang bakal berlangsung ialah pertandingan karaoke lagu-lagu Jamal dan tiru gaya Jamal yang akan diadili oleh wakil daripada pihak Warner Music dan Bintang Channel.
Malah, Jamal turut akan membuat kemunculan istimewa mendendangkan lagu-lagunya termasuk lagu hitnya bersama Malique Aku Maafkan Kamu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...