Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan (Muzium Kelantan), Abdul Rahman Abdullah berkata, pihaknya mengambil inisiatif membersihkan kubu berdekatan Hotel Grand River View, di sini setelah mendapati banyak sampah-sarap di sekitarnya.
“Kebanyakan penduduk sekitar tidak mengetahui itu adalah kubu lama, jadi ada di kalangan mereka membuang sampah-sarap dan semasa kerja-kerja pembersihan dilakukan kakitangan Muzium Kelantan, terdapat banyak plastik, botol minuman serta kertas.
“Biarpun tanggung jawab menjaga kubu ini berada di bawah peruntukan jabatan lain, namun sebagai pihak muzium yang menjaga tinggalan sejarah lama, kami mengambil inisiatif bergotong-royong membersihkannya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Beliau berkata, kubu British yang berusia 70 tahun berkenaan digunakan untuk mempertahankan keselamatan tentera British daripada serangan Jepun suatu masa dahulu dan ia mempunyai sejarah tersendiri.
Menurutnya, bagi langkah pemuliharaan kawasan kubu British di situ, pihaknya mencadangkan papan notis amaran perlu diletakkan berdekatan kubu terbabit bagi mengelak orang ramai membuang sampah.
“Bagi mengelak penyalahgunaan kawasan kubu ini, pagar perlu dibina sehingga ke tepi Sungai Kelantan sebagai langkah pemuliharaan supaya generasi akan datang masih boleh melihat tinggalan ini,” katanya.
Abdul Rahman berkata, pihak berwajib juga diminta melaksanakan langkah menjaga kebersihan 27 kubu lama termasuk dari Tok Bali (Pasir Puteh) sehingga beberapa kubu yang ada di Tumpat secara berterusan.
Katanya, orang ramai pula perlu mempunyai rasa lebih bertanggung jawab sama-sama menjaga tinggalan sejarah di Kelantan dengan memastikan kawasan kubu lama British sentiasa bersih.
No comments:
Post a Comment