Pengurus Besar Felda Wilayah Gua Musang, Norzuki Mustapha berkata, pemberian bonus itu tidak sama bagi kebanyakan peneroka kerana ia bergantung kepada jumlah pengeluaran hasil ladang masing-masing berdasarkan rekod kiraan ditetapkan, namun bagi mereka yang terbabit dengan tanam semula mendapat penuh RM1,200.
Menurutnya, bonus insentif yang paling besar dalam sejarah pembangunan Felda itu memberi manfaat kepada setiap peneroka terutama persediaan persekolahan anak pada sesi persekolahan Januari depan.
“Peneroka boleh mengambil bonus insentif itu di pejabat rancangan tanah masing-masing kerana kita tidak boleh bayar bonus berkenaan secara terbuka di tempat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Penyampaian Bonus Insentif di Rancangan Tanah Felda Chiku 1 dan 2, dekat sini, petang kelmarin.
Norzuki turut menasihatkan peneroka yang menerima bonus tersebut supaya melabur dalam Koperasi Peneroka Felda (KPF) yang anak syarikatnya bakal disenaraikan di Bursa Malaysia tidak lama lagi.
Beliau berkata, pelaburan itu untuk menjamin masa depan mereka apabila memperoleh keuntungan daripada dividen KPF sebagaimana yang pernah peneroka nikmati sebelum ini.
“Peluang pelaburan itu terbuka luas kepada setiap peneroka Felda dan terpulanglah kepada mereka untuk menentukan jumlah yang hendak dilaburkan kerana dividen yang diperoleh bergantung ke atas baki terakhir pelaburan tersebut.
“Percayalah mereka tidak akan rugi jika membuat pelaburan itu dan mereka juga boleh menggalakkan anak serta ahli keluarga sendiri turut berbuat demikian,” katanya.
Katanya, mereka juga jangan mudah percaya dengan hasutan pihak tertentu yang menyatakan cadangan penyenaraian anak syarikat KPF itu boleh menjejaskan pendapatan masa depan peneroka.
“Perkara itu langsung tidak ada kena mengenakan dengan pendapatan peneroka yang bergantung sumber hasil ladang kerana ia hanya membabitkan anak syarikat berkenaan, malah akan memberi keuntungan berlipat ganda,” katanya.
Penyampaian bonus insentif membabitkan 596 peneroka di dua rancangan tanah itu dilakukan Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.
Hadir sama, Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Gua Musang, Datuk Bazlan Baharuddin.
Antara Rancangan Tanah Felda yang memperoleh bonus insentif termasuk Rancangan Tanah Felda Chiku 1 berjumlah RM465,600, Chiku 2 RM249,600, Chiku 3 RM278,400, Chiku 5 RM8.400, Chiku 6 RM41,800, Chiku 7 RM101,600, Perasu RM292,800, Aring 1 RM183,600,
Kemahang 1 RM453,400, Kemahang 2 RM336,400 dan Kemahang 3 RM521,600.
No comments:
Post a Comment