Malah pada peringkat separuh akhir MLM Jumaat lalu, di Stadium Tertutup Majlis Bandaran Johor Bahru menyaksikan kumpulan Osbon dan Boboi paling menyerlah dalam melakukan dua tugasan iaitu tema adaptasi daripada filem klasik dan konsep bebas.
Tatkala kumpulan Osbon dibarisi Os dan Abon muncul di pentas, penonton sudah ketawa geli hati melihat gaya mereka sebagai Bawang Putih dan Bawang Merah. Lawak bersahaja bersulam dengan loghat bahasa ‘jawa’ Bawang Putih (Abon) yang enggan meminjamkan buaian kepada Bawang Putih (Os) untuk memikat Putera Raja, menggamatkan lagi suasana.
Penyudah persembahan dengan aksi Bawang Merah memanggil ibunya yang juga ‘ikan kaloi', membuktikan kumpulan ini membuat homework yang cukup baik sehingga berjaya meraih pujian daripada barisan juri.
Persembahan pusingan kedua dengan bertemakan kisah hidup keluarga daripada Osbon juga tidak mengecewakan dengan menceritakan kehidupan antara seorang datuk bersama cucunya dengan prop berlatar belakangkan pondok di berdekatan ladang getah.
Mengulas mengenai saingan peringkat akhir MLM, Osbon mengakui tidak mahu terlalu memberi tumpuan soal siapa bakal bergelar juara. Sebaliknya mahu terus memberikan persembahan jauh lebih baik kepada penonton yang hadir termasuklah juri pertandingan.
“Siapakah yang akan bergelar juara terlalu subjektif untuk difikirkan. Tiada formula untuk berbuat sesuatu seterusnya meraih kejayaan dengan begitu sahaja.
"Malah kumpulan Osbon menggunakan segala pengalaman yang ada. Saya sendiri mengambil pendekatan berinteraksi dengan peminat dunia hiburan dan seni tanah air menerusi laman sosial Facebook selain menjadikan laman Youtube untuk memperlengkapkan homework sebelum melalui saat persembahan pada setiap minggu," kata Os.
Bukti kemampuan
Jelas Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid, tujuan penyertaan kumpulan Osbon dalam MLM adalah bagi membuktikan kepada generasi baru bahawa pelawak terdahulu masih mampu bersaing biarpun kadangkala dilihat seakan menyepi dalam dunia hiburan.
“Matlamat Osbon bukanlah soal menang atau kalah. Jika sudah ditakdirkan untuk terkeluar daripada saingan, kami cuma mahu disingkir secara terhormat hasil daripada usaha gigih menerusi persembahan dipamerkan demi peminat yang memberikan undian.
“Saya percaya kejayaan datang dari usaha gigih. Osbon mahu tunjuk kepada generasi baru, bahawa pelawak lama seperti kami masih boleh bersaing dengan pelawak baru. Dalam MLM, kami mahu lawak yang dipertontonkan adalah fresh sejajar dengan apa yang generasi baru mahukan,” katanya.
Ditanya mengenai persembahan pada peringkat akhir MLM, Os enggan mengulas lanjut, sebaliknya akan meneruskan usaha untuk memberikan apa yang terbaik demi penonton dan juri.
“Osbon akan buat yang terbaik. Buat masa ini, kami sendiri tidak tahu nak buat persembahan apa. Kena fikir dan mencari idea untuk menghasilkan satu adunan persembahan yang selesa ditonton umum,” katanya.
Sementara itu, Abon atau nama sebenarnya, Sharizan Ahmad tidak mahu berjanji, sebaliknya mahu memberikan persembahan yang dinantikan oleh penonton di pelbagai peringkat usia pada MLM Akhir pada minggu depan.
“Daripada minggu pertama kami mahu melihat situasi iaitu mengenal pasti apa yang penonton mahu. Kami buat lawak stage show diikuti lawak ‘slapstik’ kerana mahu mengikut apa yang penonton nak lihat.
“Sehinggalah persembahan pada minggu keempat, orang ramai nak tengok saya luar daripada kebiasaan. Sebab itu saya menjadi pengantin perempuan, manakala Os jadi pengantin lelaki,” katanya.
Boboi bersyukur
Sementara itu, kumpulan Boboi yang diterajui oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik, menampilkan persembahan yang tidak kurang hebatnya dengan kisah dongeng Puteri Gunung Ledang bersama Si Bongkok. Manakala persembahan kedua mereka, dengan aksi bersahaja meniru program RM1,000,000 Money Drop yang diacarakan oleh pengacara sebenar, Datuk AC Mizal.
Malah pentas MLM menjadi gamat dengan hilai tawa penonton tatkala Harun muncul di pentas dengan gaya Puteri Gunung Ledang berserta lagu Asmaradana. Tidak cukup dengan itu, mereka turut menggamatkan pentas dengan persembahan keduanya yang menampilkan jalan cerita mengenai seorang datuk yang bergaya rocker bersama cucunya.
Mengulas mengenai kejayaan mereka mara ke peringkat akhir, Afdlin berkata mereka berdua sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk mempamerkan persembahan yang lebih mantap pada minggu finale.
“Jenama Boboi tidak dilihat pada watak yang lebih menjurus kepada kanak-kanak kerana kami juga ada membawa watak seorang wanita dan sebagainya. Jadi, kami akan terus mempelbagaikan watak-watak kami khususnya menjelang MLM akhir nanti.
“Kami berasa amat bersyukur kerana berjaya melangkah ke peringkat akhir. Kami akan memberikan persembahan yang terbaik kepada penonton,” katanya.
Pi Mai akur
Bagi kumpulan otai, Pi Mai yang dianggotai oleh Imuda, Sulaiman Yassin (Mat Over) dan Sathiya, terpaksa akur dengan penyingkiran yang dibuat pada minggu kesembilan itu, selepas mendapat markah terendah sebanyak 15.8 peratus.
Selain Pi Mai, kumpulan Syok turut berada dalam kedudukan dua peserta mendapat markah terendah iaitu sebanyak 18.6 peratus. Bagaimanapun hanya satu penyingkiran dilakukan.
Markah keseluruhan dikira berdasarkan undian penonton yang membawa kepada 30 peratus markah serta baki 70 peratus lagi adalah hasil pemarkahan juri tetap dan juri jemputan.
Ketika ditemui sejurus tamat MLM, Sathiya berkata, Pi Mai akur dan menerima penyingkiran tersebut kerana mereka kalah menang adalah adat dalam bertanding.
“Kami sebenarnya terkejut kerana berjaya sampai ke peringkat separuh akhir kerana kami faham peminat kami adalah golongan yang berumur 40 tahun ke atas.
"Malah saya cukup bersyukur kerana dapat bersama Imuda dan Mat Over bertanding menggunakan jenama sitkom yang telah memperkenalkan nama kami dalam bidang seni hingga ke hari ini,” katanya.
Saya Gembira - Chef Wan
Sementara itu, juri tetap MLM, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan berkata, prestasi dan persembahan pada minggu kesembilan wajar dibanggakan kerana setiap kumpulan bertanding pada peringkat separuh akhir MLM memberikan apa yang dimahukan oleh penonton termasuk barisan juri.
Katanya, dia bersama juri tetap lain, Siti Nurhaliza dan Zainal Abidin Hassan termasuklah juri jemputan, Ferhad gembira dengan apa yang dipersembahkan oleh peserta.
“Peserta buat seperti apa yang dimahukan dan mengikut tema dan saya sangat gembira kerana setiap persembahan ada tarikan tersendiri. Maknanya, lawak yang dipersembahkan adalah untuk tontonan umum untuk tatapan masyarakat pelbagai lapisan usia,” katanya.
Chef Wan turut memuji persembahan dipamerkan oleh kumpulan Osbon dan Boboi yang sentiasa konsisten malah memberitahu lawak dipertontonkan Pi Mai pada minggu ini, kurang komedinya.
“Lihat sahaja Osbon dan Boboi, mereka begitu konsisten dan menghiburkan. Penonton boleh rasai sendiri watak diketengahkan, mereka berlakon, berlawak dan punchline persembahan sangat baik.
Peringkat akhir akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (saluran 132), Jumaat ini.
tak tengok pon...takdak channel tu kat umah...hihihi..
ReplyDelete