SEMENJAK awal 2010, apabila pengacara dan pelakon AC Mizal menggunakan gelaran datuk pada pangkal namanya dalam urusan seni dan kerjaya bisnes, banyak yang skeptikal terhadap dirinya.
Malah, tidak kurang juga yang melahirkan rasa curiga, apakah benar artis yang terkenal pada zaman keunggulan kumpulan 4U2C itu telah menerima sebarang pingat penganugerahan?
Ramai yang membuat spekulasi kurang menarik mengenai berita itu. Ada yang berpendapat ia tidak lebih sekadar satu gimik.
Ironinya, jika tidak benar, apakah AC, seorang artis yang dikenali ramai dan popular dalam industri hiburan sanggup mengusung gelaran itu dalam setiap aktiviti seninya?
Dan, cakap-cakap 'kurang indah' itu akhirnya terhenti apabila Khamis, 22 Disember 2011, suami kepada pelakon Emylia Rosnaida itu mengadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP).
Ini sekali gus membuktikan sememangnya anak seni yang hadir dengan penuh kreatif ini layak dan berada dalam senarai orang kehormat itu.
AC menerima anugerah itu dalam satu majlis yang diadakan di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, bersama-sama dengan dua lagi anak seni, Datuk Eizlan Yusof dan Datuk Fazli Yaakob serta 137 penerima pingat lain yang membawa gelaran datuk.
"Apa lagi yang boleh saya katakan, selain bersyukur kepada Allah. Akhirnya majlis penganugerahan ini menjawab segala-galanya. Saya berharap agar segala cakap-cakap buruk tentang penganugerahan terhadap pingat bergelar datuk terhadap diri saya tidak lagi kedengaran selepas ini," kata pengacara Maharaja Lawak Mega itu.
Menurut AC, dia telah menerima surat penganugerahan pingat berkenaan daripada pihak istana semenjak awal 2010 lagi. Selepas itu, apabila ada pihak bertanyakan kesahihan apakah dia telah menerima gelaran kehormat negeri tersebut, AC tidak sesekali berbohong dan memilih menyatakan kebenaran.
Bagaimanapun untuk urusan acara istiadat pengkalungan pingat, dia perlu menanti lebih setahun kerana mengikut giliran yang sepatutnya.
"Ia adalah proses biasa. Tetapi banyak yang kurang faham. Bagaimanapun, siapalah saya untuk menutup mulut orang ramai daripada berkata-kata. Katalah apa saja, asalkan saya tahu dimana kebenarannya.
"Bila pihak Istana memilih kita untuk dikurniakan pangkat dan gelaran, itu adalah rezeki dan penghormatan yang besar daripada pihak Istana sendiri.
"Pada saya ini adalah anugerah dan wajar disyukuri dan diterima dengan penuh rasa hormat. Bukan membangga diri, tetapi ini adalah satu penganugerahan yang memberikan lebih semangat untuk kita terus berbakti kepada masyarakat," katanya.
Menurut AC, sepanjang menjadi anak seni, dia sudah lali berhadapan dengan segala tohmahan dan kejian masyarakat yang tidak senang dengan dirinya. Bagaimanapun AC sedar, tidak semua melihat dirinya dari sudut pandangan negatif. sebaliknya masih ada yang positif dan mendoakan kejayaannya dari sehari ke sehari.
"Satu persatu, cerita yang tidak baik tentang diri saya disebarkan tapi saya tetap bersabar kerana itu semua dugaan untuk berjaya. Memang rasa tertekan tapi bila saya dihujani dengan pelbagai masalah, saya akan redakan sakit kepala dengan melayari laman sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak misalnya.
"Saya akan memujuk hati dengan berkata, kalau PM pun orang mengata, tapi dia masih lagi terus memimpin negara. Apalah sangat dengan saya.
"Jadi bila mengenangkan situasi Perdana Menteri yang terus teguh itulah, saya pun tidak akan mudah mengalah dengan segala cemuhan," katanya.
No comments:
Post a Comment