Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday, 27 December 2011

Osman Ombak Rindu kesal kenyataan dimanipulasi



Di sebalik kejayaan naskhah Ombak Rindu yang meraih kutipan sehingga RM10 juta, masih terselit beberapa isu panas yang sedikit sebanyak mencetuskan kontroversi sepanjang tayangan filem terbabit.

Setelah terpalit dengan isu pembayaran oleh penulis novel, Fauziah Ashari, pengucapan Alhamdulillah oleh Maya Karin dan kini, pengarahnya, Osman Ali dikecam oleh sesetengah pihak berkaitan kenyataannya mengenai apa yang disebut sebagai adegan ranjang di dalam filem yang disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini.

Osman yang dihubungi Zass, kesal apabila kenyataannya itu dimanipulasikan sehingga dia mendapat pelbagai respons berkaitan kenyataannya itu.
"Saya rasa sangat sedih, kecewa bila kenyataan saya dimanipulasikan. Lain yang saya jawab, lain makna yang ditafsirkan. Wartawan terbabit tanya adakah penting adegan ranjang?

"Tapi saya tak maksud adegan ranjang itu penting, cuma saya ikut apa yang ada dalam skrip. Tetap kalau ikutkan babak itu bukan hubungan ranjang tetapi ia adalah hubungan intim antara suami isteri.

"Lagipun Maya tidak beraksi ghairah yang boleh dikategorikan hubungan ranjang kerana jika dalam urutan cerita, mereka adalah suami isteri," jelasnya.

Osman berkata, lebih membuatkan dia kecewa apabila ada sesetengah pihak tidak menonton filem berkenaan, namun membuat penilaian mengenai adegan berkenaan hanya melalui beberapa keping gambar yang tersebar.

"Ada yang marah-marah saya hanya kerana mereka melihat gambar Maya dan Aaron di atas katil dan mendengar cakap-cakap orang mengenai filem itu. Padahal mereka tidak menonton pun filem Ombak Rindu.

"Sebagai penggiat seni, adegan ranjang itu sebenarnya tidak penting. Malah adegan yang diwujudkan dalam filem atau drama arahan saya adalah mengikut skrip atau pun kesesuaian jalan cerita.

"Bukan kerana saya gemarkan adegan-adegan sebegitu untuk melariskan filem atau drama arahan saya," katanya kesal.
Imej tercalar
Pengarah yang membawa pulang trofi Pengarah Terbaik Filem pada Anugerah Skrin baru-baru ini, turut merasakan imejnya sebagai pengkarya tercalar, setelah artikel itu disiarkan.

Tidak cukup dikecam orang dalam industri, Osman juga turut dimarahi beberapa peminat yang merasakan dia seorang pengarah yang tidak bermoral.
"Tidak cukup saya dihentam melalui akhbar, ada juga beberapa blog hiburan yang turut 'memerli' saya disebabkan kenyataan itu.

"Saya tidak kisah dikritik atau ditegur, tetapi biarlah kesalahan itu benar-benar saya lakukan dan bukannya kerana saya faham.

"Bila ada peminat yang marah-marahkan saya di laman sosial Facebook, saya masih boleh perjelaskan lagi. Tapi bagaimana dengan sesetengah pihak yang tidak dapat berhubung dengan saya. Tentunya secara tidak langsung perkara ini meninggalkan imej yang tidak baik untuk saya," katanya.

Tambah Osman, dia tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang dan berharap isu ini akan berakhir segera.

"Saya cuma terfikir untuk bertanya kepada wartawan terbabit, kenapa dia tidak tulis apa yang saya cakapkan sebenarnya," akhiri Osman.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...