Akhbar harian sukan, L’Equipe dan Le Parisien melaporkan Ancelotti yang mempunyai pengalaman lapan tahun menerajui AC Milan dari 2001 dengan dua kali menjulang trofi Liga Juara-Juara, tidak terbabit dengan bola sepak sejak Chelsea memecatnya pada hujung musim lalu selepas dua tahun membimbing The Blues.
Beliau kini dipercayai bersetuju dengan kontrak dua setengah tahun bersama PSG dan jika benar laporan mengenai gajinya di antara enam hingga tujuh juta euro semusim, Ancelotti mungkin menjadi jurulatih paling mahal di Perancis.
Ancelotti akan berada di Timur Tengah pada Ahad ini untuk menyertai pasukan PSG yang sedang menghadapi cuti musim sejuk di Qatar dan Dubai sehingga 5 Januari depan sebelum mengendalikan perlawanan pertamanya - saingan Piala Perancis, menentang kelab bahagian bawah, Locmine pada 8 Januari.
PSG yang kali terakhir memenangi takhta Perancis pada 1994 apabila mereka mempunyai pemain bertaraf bintang seperti George Weah dan David Ginola, memastikan tempat teratas Ligue 1 pada peringkat pertengahan musim ini selepas menewaskan Saint-Etienne minggu lalu.
Tapi, kelab kaya yang dimiliki rakyat Qatar itu tampak lebih berminat untuk menggantikan Kombouare dengan nama lebih besar yang dikenali di peringkat antarabangsa.
Kombouare, sendiri yang pernah menjadi pemain PSG, masih belum disingkirkan secara rasmi tapi dikatakan sudah menerima hakikat yang nasibnya mungkin tidak lagi berada di Parc des Princes.
Antara nama lain yang pernah timbul untuk menggantikan tempatnya adalah bekas jurulatih Barcelona berasal dari Belanda, Frank Rijkaard dan bekas pemain tengah PSG, Claude Makelele yang kini terbabit dengan peranannya di belakang tabir sebagai penasihat kepada pengarah kesukanan, Leonardo.
No comments:
Post a Comment