Pemain berusia 21 tahun itu selamat menjalani pembedahan di Hospital Pantai Ampang, Isnin lalu selepas mengalami kecederaan akibat dikasari pemain Myanmar pada perlawanan separuh akhir Sukan Sea yang menyaksikan skuad Bawah 23 negara menang 1-0.
Bagaimanapun kecederaan paling teruk pernah dialaminya itu tidak sesekali melunturkan semangat Izzaq yang bertekad bangkit untuk menempatkan diri dalam skuad Harimau Muda A.
“Ini kali pertama saya terpaksa menjalani pembedahan akibat kecederaan. Selepas ini saya terpaksa berehat tujuh bulan sebelum boleh berlatih semula. Terpaksalah saya menjadi penonton di luar padang saja, pasti saya akan rindu untuk bermain,” katanya yang pulang ke kampungnya di Kemaman, Terengganu sebaik dibenarkan keluar dari hospital semalam.
Izzaq kembali mendapat perhatian selepas menjaringkan gol kemenangan ketika Malaysia mengalahkan Thailand 2-1 yang mencetuskan kebangkitan skuad kendalian Ong Kim Swee ketika peringkat kumpulan Sukan Sea Indonesia.
Bagaimanapun pemain yang memiliki ketinggian 190sm itu terpaksa diketepikan pada final ketika skuad negara berjaya mempertahankan pingat emas dengan mengalahkan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas kedudukan terikat 1-1 pada masa tambahan.
Katanya, dia amat kecewa kerana tidak dapat beraksi pada final di Stadium Gelora Bung Karno itu selain gagal membantu rakan sepasukan ketika tewas 2-0 kepada Syria dan 3-2 Bahrain pada aksi pusingan kelayakan Sukan Olimpik London.
“Saya ditolak pemain Myanmar yang menyebabkan saya terjatuh dan lutut kiri terkehel. Saya tak sangka kecederaan begitu serius sehingga tidak dapat bermain pada final menentang Indonesia. Saya kecewa,” kata Izzaq.
“Saya hanya akan bercuti di sini (Kemaman) selama seminggu dan kemudian akan menjalani rawatan di FAM. Saya harap akan kembali sembuh dan dapat beraksi semula dengan segera,” katanya.
No comments:
Post a Comment