Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 18 December 2015

PUASA YANG SEMPURNA DAPAT MELURUS KEMBALI FITRAH INSAN

Bulan Ramadan adalah bulan terbaik untuk umat Islam bermuhasabah  dan mendampingkan diri kepada Allah SWT. Ramadan menjanjikan kepada mereka yang ikhlas dalam beribadah ganjaran yang berlipat kali ganda, memperoleh rahmat, keberkatan dan keampunan Allah SWT.  Amalan puasa dapat membina  jiwa (rohani) menjadi tenang sejahtera. Jiwa yang sejahtera adalah berkaitan dengan nafs (diri) dan ‘ruh’ manusia. ‘Nafs’ yang diciptakan Allah adalah asalnya sempurna dan suci (al-kahfi:74). Namun, sepanjang kehidupan di dunia ia menjadi tercemar dan kotor kerana maksiat atau kejahatan yang dilakukan.
Orang yang kotor jiwanya dan tidak berusaha membersihkannya adalah orang yang rugi di sisi Tuhan. Ini dapat difahami dari maksud firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat” (as-Syam:10).
Dari maksud ayat tersebut maka  jelas kepada kita bahawa punca utama kekotoran  jiwa manusia adalah disebabkan perbuatan mungkar atau maksiat yang dilakukan. ‘Mungkar’ bermaksud perbuatan maksiat yang diharamkan oleh syariat atau tindakan yang haram dan dibenci oleh syarak. Mungkar juga bermaksud sesuatu yang bercanggah dengan ibadat. Ia adalah perbuatan derhaka kepada perintah Tuhan.
Tahap kekotoran jiwa manusia adalah berbeza-beza. Kesan daripada kekotoran nafs inilah maka lahirnya pelbagai kemaksiatan, kemungkaran dan kejahatan dalam masyarakat. Kemaksiatan menyebabkan hati menjadi gersang dan liar. Namun, Islam sebagai agama rahmatan lil alamin menyediakan jalan pembaikan atau pembersihan hati melalui amal ibadah yang dilakukan dengan betul mengikut petunjuk al-Quran dan as-Sunah.
Pada hakikatnya, semua bentuk amal ibadah yang disyariatkan Islam mampu menjadi proses tarbiyyah ruhaniyyah untuk manusia kembali mendampingkan dirinya kepada Allah SWT. Ibadah puasa merupakan ibadah paling berkesan mendidik jiwa supaya kembali kepada fitrah.
Ini disebabkan sepanjang tempoh berpuasa pada siang hari, nafsu manusia akan dididik bukan sahaja menahan diri dari makan, minum dan hubungan kelamin tetapi juga mengawal hati (batin) daripada sifat-sifat mazmumah seperti mencaci dan mengata nista, berburuk sangka, kebencian, permusuhan, riyak hasad dengki dan iri hati.  Ketika berpuasa inilah kita melakukan amalan mujahadah melawan hawa nafsu yang sentiasa mengheret manusia ke lembah kehinaan.
Puasa sebagai  jalan tazkiyyah an-nafs (penyucian hati) dapat mengembalikan nafs kepada fitrah insan yang sebenar. Tazkiyyah an-nafs merupakan perbuatan terpuji yang dijanjikan syurga (surah Taha: 75-76). Jika puasa dapat dilakukan dengan berkesan maka tujuan utama dari ibadah puasa iaitu untuk mencapai takwa akan tercapai.
Takwa akan tercapai apabila hawa nafsu dapat ditunduk dan dikendalikan dengan betul. Sayid Qutb dalam kitabnya Fii Zhilalil Quran  menyebut takwa adalah membangun apa yang ada di dalam hati dan dengan takwa itu dapat memelihara hati dari merosakkan  puasa kerana kemaksiatan. Ibnu Mas’ud r.a. berkata, “Takwa kepada Allah adalah di mana perintah-Nya ditaati dan tidak dilanggar, selalu ingat kepadanya dan nikmatnya disyukuri dan tidak diingkari”.
Jelaslah, dengan memiliki takwa dapat menjadikan orang mukmin itu merasai dirinya sentiasa diawasi Allah SWT sama ada ketika bersendirian mahupun di tengah-tengah masyarakat. Justeru, Ramadhan sebagai bulan ’tarbiyyah ruhaniyyah’ sepatutnya menjadikan diri kita  berupaya mempertingkat sifat kemalaikatan dengan membuang segala sifat tercela yang bersarang di hati.
Puasa sepatutnya dapat menghapus rasa keangkuhan diri, membina sabar dan tabah terhadap ujian. ”Madrasah Ramadan” ini sepatutnya dapat mempertingkatkan nilai kemanusian dalam diri kita. Ini akan membawa seseorang itu prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi orang lain lalu ia dengan mudah menghulurkan pertolongan dengan tulus ikhlas demi mencari keredaan Allah SWT .
Oleh kerana amalan puasa adalah rahsia antara orang yang berpuasa dengan Rabbnya maka hanya dengan keimanan dan keikhlasan sahaja akan menjadikan sesorang itu berpuasa dengan penuh adab serta menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan amalan puasanya itu.
Justeru, sepanjang berpuasa di bulan Ramadahn  ini hendaklah  kita tingkatkan amalan bermuhasabah dan bertaqarrub kepada Allah SWT. Ketika berpuasa hendaklah kita jaga hati dari sifat-sifat mazmumah yang boleh merosakkan amal ibadat kita.
Jabir r.a. berkata, ”Jika engkau berpuasa, maka hendaklah pendengaran, penglihatan dan lidahmu turut berpuasa dari dusta dan hal-hal yang haram. Jangan menyakiti jiran tetangga dan jangan sampai keadaanmu ketika berpuasa dan tidak berpuasa sama sahaja’.
Kesimpulan, ibadah puasa adalah amalan yang amat berkesan untuk menyegar dan mengembalikan insan kepada fitrahnya yang hakiki. Puasa yang sempurna akan meningkatkan ketakwaan, kesabaran dan tawakal kita kepada Allah SWT.
PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.

INSANpmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/524-kolumnis-akhbar/13575-puasa-yang-sempurna-dapat-melurus-kembali-fitrah-insan.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...