Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 19 December 2015

ISTERI GARANG APA NAK BUAT

“Suami garang, itu biasa didengar tetapi kalau isteri yang garang, bagaimana cara menghadapinya?” tanya Dj Nadia Hamid.

Dalam slot KAMAR, Nasional FM itu, saya mencadangkan supaya suami-suami yang terpaksa berdepan dengan keadaan begini lebihkan diam ataupun tersenyum sahaja. Diam dan senyum ini boleh mematahkan apa-apa pun hujah. Isteri yang garang memang mahu suaranya didengar, maka dengarlah dan senyumlah kepada mana-mana perkataannya yang tidak masuk akal itu. Ia akan memberi tujahan kepada mindanya untuk berfikir.

“Setiap kali isteri bising ambillah pewangi dan wangikan diri, hiru bau wangi itu dalam-dalam. Isteri tentu geram, katakanlah bau wangi boleh menurunkan emosi manusia kepada arus bertenang iaitu alpha. Isteri akan berasa malu sendiri andainya dia masih bising-bising,” ujar saya.

Seterusnya, saya mencadangkan supaya dalam seminggu mintalah setengah jam untuk anda bercakap pula. Gunakah masa yang diberi itu untuk bercerita hal-hal yang tiada kaitan dengan apa yang dibisingkan oleh isteri selama ini. Ceritalah perihal pejabat, perihal kereta, kisah kawan-kawan malah pancing-pancing dengan rancangan percutian. Ia memberi gambaran bahawa apa yang dia bisingkan dan garangkan selama ini tidak mengubah perhatian dan kasih sayang anda kepadanya.

Rancangan selama setengah jam terbitan Naziyah Haskam itu rancak dengan soalan-soalan panas daripada Dj sendiri, lantas saya menyenaraikan kuasa suami sebagai ketua rumahtangga, iaitu;
  1. Nasihat. Adalah menjadi kewajipan suami untuk mendidik isterinya kepada akhlak yang lebih baik. Nasihat perlu disampaikan sama ada isterinya itu suka mendengar mahupun tidak. Maka itulah, kadang-kadang slot yang diminta boleh juga digunakan untuk memberi nasihat.
  2. Tunjukkan emosi. Kadang-kadang suami boleh mempamerkan mimik-mimik tertentu apabila mendengar leteran isterinya yang seperti tiada kesudahan, misalnya merenung biji mata isteri dengan biji mata yang lebih besar dan berdengus sedikit.
  3. Marah dengan lembut. Andainya keadaan masih tidak berubah, anda bolehlah tunjukkan kemarahan tetapi dengan nada suara yang lembut, bukan sebagaimana dia marahkan anda dengan suara yang tinggi bagaikan orang hilang akal itu.
  4. Tinggikan suara. Sesekali anda boleh meninggikan suara mengatasi suaranya pula. Namun, lakukan begini pada suasana yang sesuai, bukan di tengah malam yang hening di mana suara anda dengan mudah boleh didengar oleh jiran-jiran.
  5. Tidak bercakap. Anda boleh juga mendiamkan diri hingga beberapa hari, langsung tidak mahu bercakap dengannya. Biarlah dia memekak dan memekik anda seolah-olah tidak mendengar apa-apa. Singa pun akan penat mengaum kalau tiada sesiapa yang takut.
  6. Asingkan tempat tidur. Seorang isteri akan berasa seperti tidak berguna apabila anda tidak kisah untuk tidur bersama-samanya lagi. Moga-moga langkah psikologi ini memberi kesedaran serta mendidik hatinya supaya belajar-belajar menghormati suami. 
  7. Memukul dengan kasih sayang. Adalah hak suami untuk mendidik isterinya dengan pelbagai kaedah malah hingga memukul, namun lakukan ini setelah kesemua langkah di atas dilakukan namun langsung tidak memberi kesan. Memukul itu pula mestilah di tempat yang sesuai, bukan muka, tapi mungkin lengan ataupun punggung, dengan penuh kasih sayang bertujuan mengajar bukan mencederakan.
  8. Berikan syarat. Kaedah psikologi roti dan rotan boleh digunakan pada langkah ini iaitu, katakan, “Kalaulah awak berubah abang akan belikan kereta baru,” atau tiba-tiba sahaja memberi hadiah rantai emas dan katakan, “Awak dah tak segarang dulu, pasal tu abang hadiahkan rantai emas ini.”
  9. Talak. Apabila anda hendak memberikan talak, ketahuilah ia adalah pendidikan terakhir yang harus diambil. Moga-moga dengan talak satu itu isteri akan muhasabah diri dan menjadi isteri yang lebih anggun andainya rujuk kembali nanti.
Sebenarnya, isteri tidak perlu pun menjadi garang sebab kegarangan boleh menyebabkan proses penuaan berlaku dengan lebih cepat terhadap dirinya. Ia juga boleh menyebabkan penyakit yang berkaitan dengan kejiwaan. Ramai wanita hilang keanggunan oleh sifat-sifat negatif yang mereka kekalkan. Oleh itu, bukankah baik menjadi riang berbanding garang?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...