Letupan dilakukan profesional, bukan polis: Ketua Polis KL
KUALA LUMPUR: Letupan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Isnin lepas dilakukan golongan profesional dalam pembuatan bahan letupan dan bukan oleh polis, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh. Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati ia dilakukan dengan menggunakan bahan peledak dan kon yang mudah diperoleh.
Beliau juga mengesahkan komponen jam penggera, paip PVC serta bateri, bahan letupan yang digunakan adalah daripada jenis 'Jerangkap Rekaan Elektrik' dan bukan bom seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.
Dalam insiden itu, tiga letupan berlaku pada perhimpunan penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan beliau daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Mohmad meminta mana-mana pihak yang mengetahui atau menyedari ada individu membeli komponen berkenaan dalam kuantiti lebih daripada tiga, memaklumkannya kepada balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat Deputi Superintendan Yahya Abdul Rahman di talian 019-470 8946.
Beliau berkata, setakat ini, tidak ada pihak yang dipanggil untuk diambil keterangan dan siasatan masih diteruskan kerana polis hanya mempunyai rakaman selepas letupan itu berlaku.
Katanya, tiga siri letupan itu dipercayai dilakukan sekadar untuk mengucar-ngacirkan keadaan dan bukan untuk membunuh atau mencederakan mana-mana individu.
Mohmad juga kesal dengan spekulasi laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Melayu bahawa peserta perhimpunan itu yang membawa bahan letupan berkenaan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment