Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 10 January 2012

Kitar beg kencing

JITRA: “Dalam sebulan, saya memerlukan kira-kira RM500 untuk menampung kos pembelian beg plastik najis dan juga air kencing anak yang menghidap penyakit kanser usus sejak tiga tahun lalu,” kata seorang ibu, Norliza Ramli, 36, dari Kampung Gelam Tiga, Bukit Besar.
Kos berkenaan juga merangkumi perbelanjaan tambang bas ulang-alik ke Hospital Pulau Pinang sebanyak dua kali sebulan.

Ini berikutan anaknya, Luqman Hakim Chairil Anwar, 12, disahkan menghidap kanser usus pada September 2009 ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, selepas sering mengeluarkan air kencing dan najis bercampur darah.
Norliza berkata, selepas sebulan disahkan menghidap kanser itu, anak sulungnya terpaksa memakai beg plastik yang dipasang di perutnya selepas ditebuk untuk menyalurkan najis dan air kencingnya.

Menurutnya, setiap beg najis itu berharga RM10, manakala beg untuk menampung air kencing pula bernilai RM4.50 setiap satu yang perlu ditukar setiap tiga hari sekali.

Katanya, akibat kesempitan wang, dia terpaksa mencuci beg berkenaan untuk digunakan semula sebelum diganti baru.

“Saya tidak bekerja, manakala suami pula hanya mengambil upah melakukan kerja kampung seperti menyembur racun ke atas sawah dengan upah RM40 sehari, namun bergantung pada hari-hari tertentu juga.

“Malah, saya perlu berhenti membawa Luqman ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani rawatan kimoterapi kerana kekurangan wang sejak setahun lalu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Luqman Hakim adalah anak sulung daripada dua beradik hasil perkahwinan pertama Norliza dengan bekas suaminya, Chairil Anwar Othman, 40.

Bulan ini, Luqman Hakim perlu menjalani ujian ‘ultra sound’ di Hospital Sultanah Bahiyah dan menyambung semula rawatan kimoterapi di Hospital Pulau Pinang.

Norliza berkata, dia sedih apabila mengenangkan nasib anaknya, malah penyakit berkenaan turut menghalang Luqman Hakim pergi ke sekolah hampir tiga tahun, tetapi masih sempat menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu. “Saya amat berharap orang ramai yang prihatin dengan nasib keluarga kami dan juga Luqman Hakim dapat meringankan beban dengan menghulurkan sumbangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...