Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 10 January 2012

Dua jam ‘apung’ nyawa


 KOTA TINGGI: “Sejurus kereta terjunam dalam sungai, saya terus membuka pintu dan tali pinggang keledar. Saya cuba mengapungkan diri kerana tidak tahu berenang sebelum tersangkut pada tiang jambatan dan berpaut padanya selama dua jam,” kata Shahid Imran, 25, ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam, Proton Wira dinaiki Shahid terjunam dalam Sungai Dohol di Kilometer 68, Jalan Johor Bahru-Mersing menyebabkan pemandunya, Muhammad Naeem Khan, 32, berasal dari Jalan Bacang 24, Taman Kota Masai, Johor Bahru, lemas.

Shahid yang bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang terpaksa berpaut pada tiang jambatan dan tidak berani mengambil risiko berenang ke tepian kerana hari gelap selain arus deras akibat hujan lebat sebelum itu.
Menurut Shahir, dia menemani Naeem dan tidak tahu lokasi dituju temannya itu.

“Saya berpesan kepada Naeem supaya memandu perlahan jika mengantuk dan tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai.

“Air mencurah masuk dan selepas berjaya keluar, saya memanggil Naeem, tetapi tiada jawapan. Saya tidak berani menyelam dan mencarinya kerana tidak tahu berenang,” katanya.

Menurut Shahid, dia cuba mengapungkan diri dan dihanyutkan sehingga ke bawah jambatan sebelum berpaut pada tiang kayu.

“Saya kuatkan semangat terus berpaut pada tiang itu sambil menahan kesejukan. Saya turut menjerit meminta tolong apabila mendengar bunyi motosikal yang melalui jambatan berkenaan, tetapi tiada sesiapa berhenti.
“Bagaimanapun, syukur kerana pada jam 7.30 pagi, seorang lelaki terdengar jeritan saya dan berhenti. Ketika itu hari sudah cerah dan saya memberanikan diri mengharungi sungai untuk ke tepian,” katanya.

Sementara itu, isteri Naeem, Siti Mariam Abdullah, 47, berkata, sejak jam 9 malam kelmarin, dia gagal menghubungi suaminya melalui telefon bimbit.

“Petang kelmarin, suami memaklumkan mahu menjemput rakan di Mersing, tetapi saya melarangnya kerana cuaca kurang elok apatah lagi dia memandu pada awal pagi.

“Bagaimanapun, suami tidak mengendahkannya dan kini saya kehilangan orang tersayang buat selamanya,” katanya.

Menurut Mariam, Naeem membantunya menyediakan pengangkutan kepada pekerja kilang di Pasir Gudang.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga empat tahun lalu dan belum dikurniakan anak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...