Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 9 December 2011

Zaid saman penulis, pengarang dan penerbit “Buletin Rakyat"


KUALA LUMPUR- Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim memfailkan saman fitnah berjumlah RM30 juta terhadap seorang penulis, pengarang dan penerbit akhbar Buletin Rakyat berhubung penerbitan satu artikel.
Zaid, yang kini Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), memfailkan saman itu menerusi Tetuan Bashir & Co pada 21 Nov lalu di Mahkamah Tinggi di sini.
Beliau menamakan penulis artikel Mohd. Sayuti Omar, pengarang akhbar Norzah Kepol dan penerbit yang juga pemilik akhbar itu, Kantung Network Sdn. Bhd., sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam pernyataan tuntutannya, Zaid mendakwa penerbitan artikel bertajuk “Zaid Terus Hanyut Dalam Keegoannya” telah memfitnah dan membawa maksud bahawa beliau memiliki moral politik yang rendah, seorang yang ego, bersikap autokratik, menggunakan kekayaan untuk memaksa orang tunduk kepadanya dan tidak memiliki ketinggian budi pekerti.
Zaid menuntut satu perintah menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan kata-kata fitnah berkenaan di dalam akhbar dan internet, satu perintah supaya defendan mengambil langkah menarik balik atau memadamkan kata-kata fitnah itu dan defendan perlu menerbitkan atau menyiarkan permohonan maaf di akhbar itu secara berterusan selama dua bulan atau tempoh yang dianggap wajar oleh mahkamah. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...