Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday, 15 December 2011

Usop Wilcha anak bongsu dr 13 beradik



Usop Wilcha
Siapa sangka, wataknya sebagai Usop menerusi filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah mencipta fenomena, sekali gus melahirkan pengikut sendiri lelaki ini dalam bidang seni tanahair.

Pemilik nama Syed Mohamad Asri, 46, tidak pernah menyangka watak yang dibawa membantu melonjakkan nama dan popularitinya dalam bidang seni.

Lebih dikenali dengan nama Usop Wilcha atau Shy8, dia mengakui pembabitan menerusi filem berkenaan sekali gus mengubah kehidupannya yang pernah mencuba nasib sebagai penyanyi sebelum ini.

Bahkan, kejayaannya menuntut pengorbanan yang lebih besar apabila dia mendapat pelbagai tawaran selepas itu.

Pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Komunikasi Korporat sebuah syarikat, Usop akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan kerjaya tetapnya itu dan beralih untuk bertugas sebagai penyampai radio di stesen radio Hot FM dan fokus pada kariernya sebagai penyampai serta pelakon.

Suami kepada Noorafiza Abdul Aziz, 28, dan bapa kepada Syed Caliph Umar, 1, mengakui kesibukan dalam bidang seni membuatkan kehidupan bersama keluarga agak terhad sejak kebelakangan ini.

“Kesibukan bekerja ada kalanya membuatkan saya kekurangan masa untuk bersama mereka. Tetapi, saya akan cuba mencari jalan meluangkan masa bersama supaya mereka tidak berasa terabai.

“Sekiranya terlibat dengan sebarang penggambaran di tempat lain yang memakan masa panjang, biasanya saya akan membawa mereka sekali. Jadi walaupun penat bekerja, saya masih mempunyai masa dengan keluarga," kata anak bongsu daripada 13 beradik ini.


Saling bertolak ansur

Jelas Usop, dia bertuah kerana dikurniakan seorang isteri yang begitu memahami. Malah biarpun memiliki perbezaan umur yang jauh, iaitu 18 tahun, ia tidak pernah menjadi alasan untuk mereka bertengkar atau sukar mencari keserasian.

“Kami sering mengamalkan sikap bertolak ansur antara satu sama lain. Biasanya apabila berlaku salah faham, salah seorang daripada kami akan mengalah. Kita lihatlah siapa yang lebih kuat marahnya ketika itu.

“Lagi pun, kami senang mengurangkan ego dalam diri supaya dapat mencari jalan penyelesaian. Rasanya, kalau nak berlawan antara satu sama lain, pasti pertengkaran menjadi lebih panjang," kata anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini.

Tambahnya, apa yang penting, dalam usia yang semakin meningkat, mereka perlu bersikap lebih matang.

“Lebih-lebih lagi apabila sudah bergelar bapa dan ibu, kami tidak mahu bergaduh di hadapan anak. Anak adalah amanah Tuhan yang sangat berharga. Janganlah pula disebabkan kita, anak-anak tertekan dan menjadi mangsa keadaan,” katanya yang tidak suka perbalahan antara mereka berpanjangan.


Cahaya mata beri sinar

Dalam usianya hampir mencecah separuh abad ini, pasti ramai tidak menduga Usop memiliki seorang anak masih kecil, bahkan kehadiran Caliph, tidak pernah diduga sejak dia mengambil keputusan berkahwin tiga tahun lalu.
Ujarnya, kehadiran Caliph adalah kejutan yang tidak disangka-sangka.

“Selama lebih 40 tahun hidup sendirian, saya akhirnya berkahwin dan dikurniakan anak. Saya bagaikan tidak percaya mempunyai anak sendiri.

“Oleh itu, saya akan cuba memberikan yang terbaik buat Caliph dan isteri saya,” katanya.

Ditanya adakah dia tidak kisah sekiranya Caliph mengikut jejak langkahnya menceburi bidang seni, Usop berkata, dia lebih senang menunggu dan melihat sejauh mana perkembangan anaknya apabila dewasa nanti.

“Saya tidak menghalang dan tidak menggalakkan dia mengikut jejak langkah saya. Apa pun keputusan yang diambil, pasti saya sokong sepenuhnya. Namun, saya mahu anak gembira dan rasa dihargai bapa dan ibunya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...