Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 3 December 2011

Telur Masin jadi rebutan para gadis

Telur masin jana pendapatan
Sebut sahaja telur masin, pasti terlintas di fikiran mengenai telur itik berwarna putih yang diawet dengan garam dan disalut tanah liat serta sekam padi yang dibakar bagi mengekalkan rasa masin dan tahan lebih lama.

Telur masin yang dibuat dari telur itik menjadi pelengkap hidangan sesetengah orang malah popularitinya semakin melonjak bila tibanya Ramadan kerana dikatakan mampu membuka selera terutamanya sewaktu bersahur.

Bagi pengusaha telur masin Cap Layang–Layang, Toh Giat Hok, 47, penglibatannya bersama suami, Nah Ching Sun, 52, dalam pemprosesan telur masin kira–kira 20 tahun lalu bukan sahaja berjaya mengubah hidup mereka, malah menjadi sumber pendapatan tetap sekeluarga.

Ketika berkunjung ke kilang pemprosesan telur masin di Kampung Pantai Acheh, seramai tujuh pekerja ligat mengangkat dan memindahkan telur itik dari bekasnya sebelum kerja–kerja menyalut dan membalut bermula.

Proses pembuatan mudah, cepat

Giat Hok berkata, telur itik yang dibawa khas dari Ipoh, Perak setiap hari dan akan sampai ke kilangnya sama ada pagi atau petang.

“Ketibaan bekalan telur itik tidak dapat dijangka kerana ianya bergantung kepada stok dan kadang kala kilang tidak beroperasi dalam dua atau tiga hari apabila ketiadaan bekalan.

“Kami hanya bersedia dan selalunya kerja menyalut telur itik bermula seawal 6 pagi sehingga 5 petang,” katanya.

Telur itik akan disalut dengan adunan tanah liat yang telah dicampurkan dengan air dan garam sebelum digolekkan atas sekam padi yang telah dibakar dan proses terbabit akan diulangi sekali lagi sebelum ianya disusun di dalam kotak yang dilapikkan plastik.

Saduran tanah liat dan sekam padi akan mengekalkan rasa masin dan disimpan selama dua minggu dan ianya sedia untuk dimakan.

Giat Hok berkata, cara pembuatannya yang mudah ditambah tenaga pekerja yang ramai, sebanyak 25,000 biji mampu dihasilkan dalam sehari.

“Mesin khas digunakan untuk membuat adunan tanah liat dan garam malah hanya tanah yang benar-benar bersih dipilih bagi memastikan kebersihannya terjamin.

“Tanah liat diambil dari kawasan bukit sekitar sini yang kemudiannya akan disimpan dalam guni sebagai bekalan dan adunan dibuat untuk setiap sesi.

“Setiap kotak mengandungi 50 biji telur masin dan akan dijual kepada pemborong selepas dua minggu,” katanya.

Walaupun mudah, masih ada risiko yang perlu ditanggung seperti bekalan telur itik yang dipesan rosak atau pecah ketika dalam perjalanan.

Ini adalah kerana stok terbabit dibeli secara pukal dan pihak pembeli sendiri terpaksa menanggung kerugian sekiranya telur retak atau busuk.

Giat Hok berkata, telur masin yang dihasilkan akan dieksport mengikut gred ke beberapa negeri seperti Selangor dan Negeri Sembilan.

“Harga bagi sekotak telur masin ialah RM20 dan akan meningkat sehingga RM30 terutamanya ketika Ramadan.

“Selain itu, permintaan akan semakin tinggi ketika berlangsungnya perayaan kuih bulan dan kuih chang (pulut berinti),” katanya.

Kilang terbabit turut dibuka untuk lawatan memandangkan kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Balik Pulau ingin melihat sendiri cara pembuatan telur masin sekali gus mendapatkannya sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Giat Hok berkata, perniagaan terbabit akan diteruskan memandangkan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Inilah punca pencarian utama keluarga dan kami berusaha membangunkannya memandangkan kilang ini adalah satu–satunya kilang pemprosesan telur masin yang ada di Pulau Pinang.

“Selain itu, pengunjung juga boleh ke kedai serba guna yang terletak di Simpang Empat untuk mendapatkan bekalan telur masin serta jeruk buah–buahan untuk dibawa pulang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...