Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 9 December 2011

Tahap kebersihan pantai Port Dickson dipertingkatkan



MOHAMMAD Razi Kail (dua dari kanan) bersama Abdul Wahab Shamsuddin (kanan) serta orang ramai melontar bebola lumpur ke dalam laut di Pantai Teluk Kemang, semalam.


TELOK KEMANG 9 Dis. - Usaha meningkatkan tahap kebersihan pantai peranginan Port Dickson terus diperhebatkan menerusi pembuangan bebola lumpur ke dalam perairan pantai berkenaan yang dilaksanakan di bawah projek Revive Green Festival Port Dickson 2011, di sini hari ini.
Inisiatif tersebut merupakan program anjuran Revival Productions dengan kerjasama Lembaga Pelancongan negeri dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, program tersebut sudah masuk kali kedua di jalankan di sini sepanjang tahun ini.
''Kita akan membuang 'Mud Balls' atau bebola lumpur ini ke dalam laut, di mana bebola lumpur yang diperbuat daripada bahan semula jadi ini berupaya membersihkan air melalui mikroorganisma yang terkandung di dalamnya.
''Melalui inisiatif ini, ia secara tidak langsung akan dapat membantu kita membersihkan perairan pantai ini sekali gus memberi impak positif kepada orang ramai khususnya para pengunjung," katanya pada majlis perasmian projek berkenaan di Dataran Pantai Telok Kemang, di sini hari ini.
Jelas Mohammad Razi, diharapkan pelaksanaan program tersebut dapat menarik serta mendidik masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan mencintai alam sekitar khususnya dalam kehidupan harian mereka.
Sementara itu, Yang Dipertua MPPD, Abdul Wahab Shamsuddin berkata, program tersebut akan dijadikan acara tahunan di pantai tersebut.
''Kebersihan merupakan keutamaan. Semua individu seharusnya menjadi masyrakat yang bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan.
''Jika terjumpa sampah, mereka seharusnya ambil dan buang di dalam tong sampah, dengan sikap sebegini mereka bukan sahaja mendidik hati supaya bersikap prihatin sekali gus menjadi rakyat yang berdisiplin," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...