Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 6 December 2011

Sudah lali dimaki anak


KUANTAN: Maki hamun seperti babi serta anjing sudah terlalu kerap singgah di telinganya, tetapi paling mengecewakan Ramlan Ahmad Salleh, 88, ialah apabila dia dan isteri dihalau keluar dari rumah oleh anak sendiri dengan alasan mereka menyusahkan hidup anak-anak.
Bukan sedikit dugaan ditempuh pasangan warga emas itu dan tidak hairanlah setiap hari Ramlan memohon agar nyawa dia dan isteri, Razman Dee, 61, segera diambil Tuhan.

Ramzan serta isterinya, Razmah, kini menetap di Kampung Bukit Segantang Lada, Kuantan dan dia mendakwa faktor isterinya bisu serta lumpuh sejak 16 tahun lalu dijadikan alasan anak-anaknya untuk menghalau mereka dari rumah.
“Saya ada lapan anak tetapi mereka langsung tidak pernah menjenguk kami, membiarkan kami tinggal di rumah usang ini. Sejak dihalau dari rumah beberapa bulan lalu, di sinilah kami tinggal sementara menanti ajal.

“Saya sering dimaki hamun. Perkataan babi dan anjing sudah lali buat saya. Anak-anak kata kami tidak layak tinggal bersama dengan mereka.

“Sebenarnya rumah yang diduduki anak-anak itu milik isteri yang membuat permohonan mendapatkan rumah beberapa tahun lalu. Saya mengajak anak-anak tinggal bersama memandangkan kami sudah tua dan tidak menyangka mereka sanggup menghalau saya dengan berbekalkan beberapa helai pakaian.

“Selepas dihalau keluar, saya balik semula ke rumah lama ini yang hanya menunggu masa untuk dirobohkan Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan untuk projek perumahan,” kata Ramlan yang gagal menahan air mata sepanjang ditemubual wartawan Harian Metro, semalam.

Rutin setiap hari Ramlan sama seperti ‘suri rumah’ lain apabila warga emas itu terpaksa memasak, membasuh baju selain berjalan sejauh lebih dua kilometer ke pasar raya di Bukit Setongkol bagi membeli keperluan harian.
Rumah yang menjadi tinggal Ramlan dan isterinya hanya tinggal separuh manakala separuh lagi sudah tidak berbumbung akibat diterbangkan angin. Pondok buruk itu dinaiki air separas pinggang ketika musim banjir, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai anak-anaknya, Ramlan kerap mengelak dan mengaku enggan bertemu dengan mereka kerana terlalu kecewa serta terkilan dengan apa yang berlaku.

“Setiap malam, saya bersujud dan berdoa agar Tuhan mencabut nyawa kami kerana tidak sanggup lagi menempuh kehidupan penuh dugaan ini.

“Saya memang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan namun bantuan itu tidak mencukupi kerana semuanya digunakan untuk keperluan isteri yang lumpuh termasuk membeli lampinnya.

“Isteri saya mahu tinggal di rumah orang-orang tua tetapi saya tidak sanggup berpisah dengannya. Saya akan cuba memohon mendapatkan bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) jika kawasan ini dimajukan nanti,” katanya.

Katanya, selagi masih hidup dia akan berikhtiar mencari penyelesaian sendiri dan tidak akan sesekali berharap kepada anak-anak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...