Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Suami perlu selalu muhasabah diri


‘‘KATA orang mengumpat pada bulan Ramadan tak dapat pahala, tetapi mereka tak berasa seperti apa yang saya rasakan. Hanya yang pernah berasa seperti apa yang saya lalui sahaja akan tahu perasaan saya ketika ini.
‘‘Kalau orang kata, gempa bumi banyak mendatangkan bencana, gempa di hati saya ini juga tak kurang parahnya. Cuma ia belum pernah terjadi letupan gunung berapi. Mungkin juga bila gunung berapi meletup nanti baru semua orang tahu bahayanya. Terutama suami saya. Hingga saat ini saya masih boleh bersabar lagi,’’ demikian cerita Haslinda dalam e-mel yang dikirimkannya.
Katanya, dia langsung tidak faham mengapa suaminya, Kamarul sanggup mengkhianati rumah tangga yang dibina lebih 20 tahun lalu. Apa lagi yang dia kehendaki dalam hidup ini. Anak-anak sudah ada lima orang, ada lelaki dan perempuan. Alhamdulillah semuanya mendapat pelajaran yang baik. Inilah antara pengorbanan yang dilakukan oleh isteri mendidik anak-anak supaya menjadi manusia berguna, selain bekerja menambah pendapatan keluarga, membantu suami.
‘‘Apa yang saya ceritakan di sini bukan hendak mengaibkan suami, tetapi saya nak tegaskan bukan semua isteri suka kontrol suami, tetapi cuba suami kaji sendiri dan muhasabah diri mengapa mereka dikontrol.
‘‘Saya pasti kalau Kamarul muhasabah diri dia pasti tahu mengapa saya kontrol dia. Saya terpaksa lakukan demi menjaga ketenteraman dan kestabilan rumah tangga kami. Tetapi Kamarul telah menodai kebebasan dan kepercayaan yang diberi. Dia jadi lupa diri dan menganggap dunia ini milik dirinya seorang.
‘‘Sungguh saya tidak duga perkahwinan yang begini lama tercabar juga akhirnya. Kalau dulu saya cuma baca cerita orang, dengar cerita orang tetapi kini saya menghadapinya, saya benar-benar tidak percaya Kamarul sanggup melakukan semua ini setelah dia dalam keadaan senang.
‘‘Kami sama-sama bekerja, tetapi Kamarul berhenti untuk memulakan perniagaan sendiri. Pada saya tak ada masalah asalkan jujur. Mula-mula buat bisnes bukan terus berjaya, ada juga pasang surutnya. Siapa yang bantu dia kalau tidak saya, isterinya. Tetapi sekarang sejak jadi orang bisnes yang baru berjaya sikit, gaya hidupnya sudah berubah. Saya pernah mendengar beberapa cerita dia buat hubungan dengan wanita lain, tetapi setelah saya tanya berdepan, dia menafikan dan cerita itu padam dengan sendirinya.
‘‘Memang saya tak nafikan bukan sekali, pernah lebih tiga kali saya dengar cerita dia main-main cinta dengan beberapa orang gadis, tetapi saya sentiasa mengingatkan dia tentang tanggungjawabnya dengan jumlah anak yang ramai. Dia berjanji tidak akan aniaya saya apa lagi masa depan anak- anak. Pendeknya semua getaran, gegaran dan gempa dalam rumah tangga saya dapat saya selamatkan.
‘‘Namun kata orang, hidup berumah tangga kita sentiasa diuji dan ujian itu datang berperingkat-peringkat. Demikianlah hidup saya, semuanya saya lalui dengan selamat. Hinggalah anak kami yang tua kini sudah masuk IPTA.
‘‘Tetapi peristiwa baru-baru ini benar-benar mencabar kesabaran saya. Saya beri Kamarul kepercayaan, kebebasan untuk bisnes bersama partner (lelaki) dan pergi ke mana sahaja tanpa banyak soal dan dengan ingatan supaya menjaga maruah keluarga khususnya jangan memalukan anak-anak.
‘‘Saya ingatkan dia, kalau dia ada niat melakukan perbuatan bertujuan memalukan saya, maka anak-anak turut malu. Jadi atas alasaan bisnes mereka kerap kerja outstation ke utara, selatan, timur dan barat. Saya sentiasa mendoakan keselamatan dan kejayaannya demi kebahagiaan keluarga.
‘‘Nak jadikan cerita, rahsianya terbongkar, satu hari waktu subuh dia baru pulang dari outstation. Setelah bertukar pakaian dia terus mandi. Kerana dah hampir subuh, dan saya sudah terjaga entah kenapa hati tergerak untuk membuka handphone yang tertinggal di tepi katil. Saya tekan message, inbox dan SMS yang dihantar.
‘‘Alangkah terkejutnya saya ketika sibuk menjalankan perniagaannya, dia masih sempat berbalas-balas SMS, bercinta-cintan dengan seorang wanita.
‘‘Perkataan yang digunakan amat memeranjatkan saya, langsung saya tak terfikir dia sanggup menyebut perkataan tersebut dengan wanita bukan isterinya. Dari gaya bahasanya sah mereka sedang bercinta, siap dengan kasih saya, peluk cium, dan macam- macam perkataan lagi.
‘‘Hati isteri mana tak sakit kalau baca SMS seperti itu. Mungkin orang yang tak ada perasaan sahaja boleh bersabar. Ketika itu juga saya teringat untuk forward SMS itu ke telefon saya, supaya saya boleh baca satu per satu dan saya boleh jadikannya sebagai bukti kalau Kamarul cuba berbohong.
‘‘Saya cuba bertenang, lepas sembahyang subuh saya tanya Kamarul dengan baik, apakah makna setiap perkataan yang dihantarkan kepada wanita yang bernama June itu. Dalam keadaan tergamam dan terkejut Kamarul dengan tenang cuba menjawab bahawa dia sengaja suka borak-borak.
‘‘Alasan yang tak boleh saya terima, mana ada orang berborak atau bertanya soal kerja, sebut pasal cinta, rindu dendam, kasih sayang, peluk cium dan sebagainya. Dia terdiam. Tentulah itu nada orang sedang berasmara, bercinta dan berkasih sayang. Kamarul tidak menjawab. Saya umpama bercakap dengan dinding.
‘‘Saya tak jadi kerja hari itu, mencari bukti apa yang terjadi. Rupa-rupanya mereka sudah lama menjalin hubungan cinta. Bermula dengan chating kemudian bertelefon, bersms dan macam-macam lagi. Bila dah berjumpa, hati tergoda dan terus bercinta. Itulah yang dilakukan Kamarul dan June.
‘‘Saya bertambah sedih lagi ketika saya bekerja keras mencari rezeki, sambil menjaga anak-anak, menghantar mereka tuisyen dan membimbing serta menasihatkan mereka ketika menghadapi peperiksaan Kamarul sebaliknya sibuk berasmara dana.
‘‘Dia tak pernah ambil tahu macam mana saya pergi pasar, bila saya masak, bila mengemas rumah, mencuci pakaian, menguruskan anak-anak dan sebagainya. Kalau dia kata penat dan sibuk bekerja mencari rezeki, saya lebih penat lagi, banyak kerja perlu dibereskan di pejabat, di rumah dan anak- anak sedangkan dia tidak pernah ambil tahu hal anak-anak. Setiap kali balik lewat alasannya kerja, di rumah dia cuma berehat. Hati isteri mana yang tak sakit.
‘‘Bila pembohongannya terbongkar dia tanya saya, apa saya nak buat kalau dia katakan bahawa dia memang amat sayang dan cintakan wanita tersebut? Sakitnya hati saya bila dia mengaku dia memang dah lama bercinta. Katanya lagi, dia tak boleh lupakan June. Jadi bayangkanlah di mana dia letakkan saya sebagai isteri, kalau dia lebih sayang dan cinta wanita lain?
‘‘Setelah saya minta dia buat keputusan muktamat tentang kedudukan rumah tangga kami, barulah dia mengaku dia akan cuba memutuskan hubungan dengan June. Tapi dia ingatkan saya semua perkara ini tak boleh dibuat tergesa-gesa, dia pun ada perasaan dan dia terpaksa berusaha mengurangkan tekanan perasaannya itu.
‘‘Saya fikirkan selepas peristiwa itu, tentulah dia bersungguh-sungguh hendak jaga keluarga dan rumah tangga supaya tidak hancur. Tetapi dalam diam, dia terus menyambung hubungannya. Sebagai bukti saya terbaca SMS yang dihantar kepada partnernya, memang mereka merancang berjumpa dengan kekasih hati masing-masing, pada waktu yang telah mereka tetapkan.
‘‘Jelas dia mempersendakan saya. Bila saya tanya SMS itu dia mengamuk marahkan saya kerana mengawal pergerakannya.
‘‘Hati saya lebih sakit bila saya ajak dia berbincang tentang masalah yang terjadi dia cuma membisu, saya umpama bercakap dengan tunggul, dia sebaliknya lebih rela pandang dinding dan siling daripada melihat muka saya. Begitu bencinya dia pada saya isterinya yang berkorban lebih 20 tahun hidup susah senang bersamanya.
‘‘Padanya, setiap perkataan yang keluar dari mulut saya menyakitkan hatinya. Sebulan lamanya saya menangis tak boleh tidur malam memikirkan apa yang akan terjadi kepada rumah tangga saya ini. Saya juga dah tak lalu makan.
‘‘Hidup kami sudah jadi macam orang asing, dia tak mahu bercakap dengan saya kecuali satu dua perkataan mustahak, dengan anak-anak dia lebih mendiamkan diri. Tak peduli apa mereka buat, tak tanya perkembangan pelajaran mereka. Dia buat dirinya macam patung bernyawa di rumah kami. Anak-anak yang kecil pun hairan.
‘‘Terlintas di hati saya nak keluar dari rumah. Tapi atas nasihat kawan rapat dan demi masa depan anak-anak, saya lupakan hasrat tu. Saya pujuk hati saya sendiri, sebab dia tak akan pujuk apa lagi nak minta maaf jauh sekali. Akhirnya saya ambil keputusan tak guna menangis benda dah terjadi.
‘‘Saya ubah penampilan, saya pasang badan tapi bukan bertujuan menggoda orang. Saya lakukan untuk pikat suami. Dia pula cemburukan penampilan baru saya. Tapi sejak peristiwa hari itu, saya minta izin periksa handphonenya dan akan ambil tahu segala apa yang dilakukannya, dan ikut ke mana saja dia pergi.
‘‘Saya tak percayakan dia lagi terutama bila bersama partnernya. Partnernya pun ada skandal. Mereka memang satu kapal.
‘‘Kerana saya kerap bertanya dan mengawal pergerakannya dia mengamuk sakan, katanya saya macam orang tak betul suka ambil tahu kerjanya. Nak berkawan pun tak boleh macam dulu lagi. Alasannya dia orang bisnes kalau semua pergerakannya dikawal macam mana dia nak jumpa pelanggan. Saya suruh dia fikir mengapa dia melakukan perbuatan terkutuk itu dulu sebelum fikir pasal bisnes.
‘‘Sebenarnya saya dah malas nak bercerita mengapa saya kawal dia, dia sepatutnya tahu sendiri, tetapi memang payah hendak faham. Pelbagai tuduhan dilepaskan pada saya, saya cuma berdiam diri sebaliknya suruh dia muhasabab diri, kelakuannya yang jahat itulah jadi punca mengapa saya kawal pergerakannya.
‘‘Tujuan saya baik supaya rumah tangga kami tak berantakan, tak hancur, kalau hancur yang malu nanti anak-anaknya juga. Sanggupkah dia hilang kasih sayang anak- anak yang sudah besar hanya kerana seorang wanita?
‘‘Saya sudah penat dibohongi, sejak rumah tangga kami bergelora akhir tahun lalu, saya rasa kini sudah sampai kekemuncaknya. Saya ambil keputusan berdiam diri, sambil tunggu dan lihat apa lagi bukti kecurangannya. Jika keadaan sudah tidak dapat dikawal lagi, saya akan minta dia supaya membuat pilihan.
‘‘Jika ditakdirkan di sini berakhirnya jodoh kami, saya reda. Sebab saya tak sabar lagi dengan perangai bodoh sombongnya itu. Saya bangga anak-anak memahami, dan semakin membesar. Pada saya yang rugi pasti Kamarul, saya sudah sediakan raga untuk memetik buah yang sudah hampir masak, sedangkan Kamarul kalau dia kahwin lagi, dia baru nak bercucuk tanam, dia akan melalui semula penat lelahnya membesarkan bayi dan kerenahnya. Mungkin itu lebih baik baginya,” demikian cerita Haslinda tentang hidupnya.
Betul kata Haslinda, dia sedang menunggu buah yang akan masak dan akan gugur, sedangkan suaminya baru nak membeli tanah dan baru merancang tanaman yang sesuai, silap langkah, dapat tanah paya, tak boleh bercucuk tanam, entah tanah gersang, lagi parah. Kerana itu, jaga dan hargailah harta yang sedia ada, dan bersyukurlah dengan nikmat yang telah Allah berikan.
- MAIMUNAH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...