Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 1 December 2011

Sekolah Wawasan diyakini dicapai matlamat perpaduan


Kementerian Pelajaran yakin Sekolah Wawasan mampu mencapai matlamat integrasi perpaduan kaum yang bermula di bangku sekolah walaupun penubuhan sekolah itu belum menyeluruh, kata Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong. Katanya, setakat ini terdapat enam buah sekolah seumpamanya diwujudkan iaitu Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak; Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Anak Bukit, Kedah; Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang.
Tiga lagi ialah Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor; Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Lumut, Perak dan Kompleks Sekolah Wawasan Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan.
Menurutnya, ekoran sokongan yang meningkat diterima daripada pelbagai pihak termasuk guru, kerajaan bercadang untuk menambah bilangan sekolah itu mengikut kesesuaian lokasi dan penerimaan masyarakat.
''Sekolah Wawasan adalah wadah untuk memupuk integrasi nasional bermula di sekolah rendah. Ia mampu menjalin semangat perpaduan dan ini mencapai matlamat Rancangan Integrasi Untuk Perpaduan. Hasil kajian kementerian juga mendapati masyarakat setempat dan guru menyokong serta yakin sekolah ini akan berjaya.
''Namun, objektif perpaduannya sukar diukur melalui penyelidikan semata-mata. Oleh itu, berdasarkan pemantauan kita, telah nampak kerjasama erat kalangan murid, guru dan ibu bapa yang terlibat dalam konteks sekolah itu," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Rashid Din (PKR-Merbok) mengenai bilangan dan keberkesanan Sekolah Wawasan.
Menjawab soalan tambahan Rashid yang mempersoalkan tentang jumlah penubuhan sekolah itu setakat ini, ujar Ka Siong, secara idealnya kerajaan perlu meneliti lokasi bersesuaian yang 'menghimpunkan' penduduk pelbagai kaum.
''Atas sebab itu, ada kawasan yang hanya ada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sahaja. Untuk dapatkan satu tempat secara idealnya tiga kaum, itu bukan mudah.
''Di Kelantan misalnya, masyarakat India tidak ramai. Walaupun konsep Sekolah Wawasan adalah mengintegrasikan tiga sekolah, kita lihat kedudukan sekolah sedia ada. Kalau Sekolah Kebangsaan (SK) dan SJKC bersebelahan, kita akan jalin hubungan sekolah itu mengikut formula yang ada," jelasnya.
Menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang mendakwa perpaduan itu dipengaruhi pelbagai masalah termasuk dasar kerajaan, Ka Siong berkata, dengan silibus yang diadakan, perpaduan adalah disemai dan diutamakan.
''Sebagai contoh, ada ahli Parlimen yang guna perkataan tidak betul seperti 'hitam metalik', kalau guna, adakah kita anggap itu sebagai perkara yang diajar di sekolah? Tidak. Kita tidak pernah ajar di sekolah. Hakikatnya perpaduan itu kena datang daripada sanubari," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...