Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 9 December 2011

RM40 juta kutipan tertinggi MACP


TAHUN ini Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) mencatat rekodnya sendiri apabila berjaya mengutip royalti lagu dan lirik ahli-ahlinya yang disiarkan melalui radio, televisyen dan tempat-tempat awam seluruh negara berjumlah RM40 juta.
Menurut Pengerusi MACP, Habsah Hassan jumlah kutipan royalti itu adalah yang tertinggi pernah dicapai oleh badan bukan kerajaan (NGO) tersebut biarpun mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran sejak ia ditubuhkan 20 tahun yang lalu.
"Ini adalah pencapaian terbaik MACP yang mempunyai hampir 2,800 ahli terdiri daripada komposer dan penulis lirik. Seramai 27 kakitangan MACP telah berusaha untuk membuat kutipan royalti lagu dan lirik ahli-ahlinya yang disiarkan di tempat-tempat terbuka," katanya
Pencapaian itu katanya, ekoran kerjasama yang telah diberikan oleh stesen-stesen penyiaran tempatan seperti RTM, Astro dan Media Prima Berhad selain pusat-pusat hiburan dan penganjur persembahan pentas yang telah menggunakan karya ahli-ahli MACP sepanjang tahun lalu.
Habsah yang juga penulis lirik berkata demikian pada Malam Mesra Anugerah MACP 2011 di mana pada majlis itu, komposer Datuk M. Nasir diumumkan pemenang Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-12 sejak ia dianjurkan dua dekad lalu.
Meskipun bersaing dengan ramai komposer generasi baru seperti Taja (Meet Uncle Hussain), Yuna, Ana Raffali dan Sam (Bunkface) tetapi Nasir menganggapnya sebagai suatu persaingan sihat dalam menghasilkan kepelbagaian lagu dalam persada muzik tanah air pada masa depan.
"Tidak dinafikan memang ramai penyanyi yang mencipta lagu sendiri tetapi pada masa sama sesebuah lagu atau lirik itu kena juga diekspresikan oleh komposer tertentu. Malah, tidak semua artis boleh jadi macam mereka yang bukan sahaja boleh mencipta lagu tetapi menyanyikannya sendiri.
"Dalam hal ini, saya anggap MACP banyak memberi dorongan kepada golongan seperti ini untuk berkarya. Saya sendiri menyokong penuh usaha MACP. Saya anggap MACP sebagai antara pengutip royalti yang paling berjaya di dunia," katanya sewaktu ditemui selepas anugerah itu.
Yuna yang merupakan pencipta dan penyanyi lagu berjudul Dan Sebenarnya berasa berbaloi kerana biarpun baru tahun pertama menyertai MACP tetapi karyanya itu berjaya mengungguli kategori Lagu Melayu Persembahan Terbanyak di mana dia menerima hadiah berupa sebuah trofi.
Jelas penyanyi bertudung ini, dia berasa bertuah kerana dengan bakat dan kebolehannya mencipta lagu, lirik serta menyanyikan sendiri karya-karyanya itu membolehkannya meraih pendapatan lumayan selain menggalakkan lebih ramai penyanyi sepertinya.
"Sekarang ini penyanyi yang mencipta lagu, lirik dan menyanyikannya sendiri semakin ramai misalnya Najwa Latif dan Amirah Ali. Ia seperti sudah menjadi trend dalam industri muzik sekarang ini. Secara tidak langsung ia menggalakkan kita semakin inovatif," ujarnya.
Penyanyi dan gitaris kumpulan Bunkface, Sam atau Shamsul Annuar Mohd. Baharum yang mengungguli kategori Anugerah Komposer Muda Berpotensi biarpun setakat ini baru mencipta sekitar 20 buah lagu sepanjang lima tahun terbabit dalam bidang muzik.
Kata anak kacukan Melayu dan Inggeris itu, dia akan meneruskan usahanya mencipta lagu dan lirik sendiri bukan setakat untuk dinyanyikan oleh Bunkface tetapi turut disumbangkan kepada penyanyi-penyanyi lain yang berminat dengan karya-karyanya itu.
"Kalau boleh saya mahu menjadi M. Nasir yang seterusnya. Saya akan terus mencipta lagu di mana setakat ini ramai penyanyi lain yang berminat dengan karya saya. Penyanyi Suki (One In A Million) misalnya, berminat untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...