Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Puasa beri kekuatan dalaman


AKHLAK adalah salah suatu dari sendi Islam utama. Pembinaan akhlak yang mulia menjadi agenda utama pengutusan Nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul.
Sabda Rasulullah s.a.w: ''Tiadalah aku dibangkitkan melainkan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak''.
Baginda yang berjaya mempamerkan akhlak ini telah meninggalkan suatu mekanisme pembinaan yang menjadi salah satu rukun Islam yang lima, iaitu puasa.
Sesungguhnya puasa bukanlah suatu ibadat ritual yang hanya sekadar mendapat ganjaran pahala daripada Allah semata-mata. Ibadat puasa yang sememangnya telah menjadi tradisi ibadat sebahagian besar daripada agama-agama di dunia mempunyai hikmat atau rahsia yang sangat tinggi.
Di antaranya ialah dapat membentuk ketinggian akhlak atau perilaku pengamalnya. Mengapa dan bagaimana puasa yang menjadi warisan ibadat Islam ini dianggap dapat menyempurnakan proses pembinaan akhlak? Soalan ini dapat dijawab secara jelas apabila kita terlebih dahulu memahami pengertian akhlak dan puasa dari perspektif Islam yang sebenarnya. Akhlak mempunyai pengertian tersendiri yang berbeza dengan moral. Moral atau etika adalah suatu standard ukuran baik dan buruk yang banyak bergantung kepada cernaan adat, budaya dan pemikiran manusia, sedangkan akhlak pula adalah suatu set penilaian yang bersumberkan wahyu Ilahi, pencipta alam ini. Akhlak adalah kata jamak dari khuluq, pecahan dari kata khalq. Menurut Ibn Kathir, khuluq atau akhlak ialah bentuk (kejadian) manusia dari sudut batin, sementara khalq pula ialah bentuk kejadian manusia dari sudut lahiriah. Ibn Maskawih pula mengatakan bahawa akhlak ialah al-khuluq ialah satu keadaan bagi diri (jiwa) yang sifatnya mendorong diri untuk melakukan perbuatan atau tindakan dengan senang dan mudah tanpa didahului oleh daya pemikiran, kerana sudah menjadi sifat atau kebiasaan. Ringkasnya, akhlak adalah satu tindakan seseorang yang lahir daripada jiwanya yang seiring dan selaras dengan kehendak Islam itu sendiri. Apabila seseorang itu berkelakuan dengan akhlak Islam tidak langsung segala arahan dan tegahan Allah s.w.t itu dilaksanakan.
Walaupun akhlak itu bermula dari aspek rohani, ia kemudiannya diterjemahkan dalam perilaku lahir yang menggambarkan martabat kerohanian seseorang. Hakikat akhlak yang mempunyai dua dimensi utama iaitu rohani dan jasmani bersesuaian dengan matlamat syariat puasa yang juga menyentuh pembinaan aspek dalaman dan luaran manusia.
Puasa yang bererti menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya di siang hari adalah suatu amalan yang benar-benar menguji kekuatan iman manusia.
Manusia boleh menipu berpuasa di hadapan khalayak tetapi sebenarnya makan dan minum secara sembunyi-sembunyi. Masyarakat tidak akan tahu perbuatan buruknya kecuali mekanisme dalaman seperti hati dan perasaannya sahaja. Hati yang gersang daripada kesabaran dan keimanan kepada Allah s.w.t akan melakukan perbuatan keji ini, manakala hati yang ranum dengan keikhlasan dapat menghindarinya.
Ringkasnya, perlaksanaan ibadat puasa dapat membentuk mekanisme dalaman manusia supaya istikamah dan ikhlas dengan tugasan yang dipertanggungjawabkan. Ini dapat membentuk ketinggian akhlak manusia ke darjat ihsan yang merupakan martabat tertinggi dalam peribadatan manusia kepada Allah s.w.t. Justeru tidak hairanlah kenapa Allah berjanji untuk menganugerahkan sendiri pahala kepada mereka yang berpuasa dengan penuh kesabaran dan keikhlasan kepada-Nya.
Puasa bukan sekadar mengekang diri daripada makan dan minum. Ia melatih peningkatan martabat kerohanian manusia dari melayani runtunan hawa nafsu dan membasmi sifat-sifat mazmumah. Barang siapa yang berpuasa tetapi masih terikat dengan rantaian hawa nafsu atau tidak berjaya menahan dirinya dari melakukan perkara-perkara keji, puasanya hanyalah untuk lapar dan dahaga semata-mata. Sesungguhnya puasa yang sejati dapat membentuk kekuatan rohani yang mampu menjadi alat kawalan sosial yang ampuh.
Kekuatan dalaman inilah yang dikatakan sebagai tunjang utama akhlak dalam Islam.
Bahkan ia juga sebenarnya merupakan elemen utama bagi penentuan ukur baik dan buruk dalam moral atau etika manusia sejagat. Ringkasnya, puasa secara tidak langsung dapat menghasilkan kemurnian akhlak yang turut selaras dengan nilai-nilai universal atau sejagat.
Akhlak yang baik bukan sekadar ditandai oleh perilaku atau sopan santun semata-mata. Di samping menghiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah, manusia memerlukan kekuatan fizikal untuk membentengi diri daripada musuh-musuh yang ingin menghancurkan Islam atau nilai-nilai sejagat. Ia memerlukan kekuatan fizikal yang ampuh dalam menghadapi segala cabaran kehidupan.
Latihan jasmani yang dianjurkan oleh puasa dapat dilihat dari natijah kesihatan positif di kalangan pengamal-pengamalnya. Hakikat ini diakui oleh ramai pengkaji perubatan sama ada Muslim atau bukan Islam.
Paduan di antara kekuatan rohaniah dan fizikal yang dilahirkan oleh ibadat puasa berjaya memberi kemenangan kepada tentera Islam yang berperang di Badar pada bulan puasa.
Kesimpulannya, ibadat puasa yang bermatlamatkan pembersihan rohani dan jasmani dapat meningkatkan prestasi akhlak yang mencakupi kejadian dalaman dan luaran. Tindakan ''dua dalam satu'' atau ''serampang dua mata'' ini tidak terdapat dalam mana-mana ajaran agama atau ideologi moden. Bahkan sesetengah ideologi moden seperti kapitalisme dan sekularisme sarat dengan muatan materialisme dan hedonisme yang akhirnya memusnahkan moral dan kehidupan manusia itu sendiri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...