Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 9 December 2011

Produk KR1M diuji bagi tangkis tuduhan


KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengarahkan pengusaha Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) menghantar 200 produk yang dijual di kedai itu bagi menjalani ujian dan pemeriksaan.
Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, langkah itu bagi memastikan produk yang dijual di KR1M selamat untuk dimakan atau digunakan oleh rakyat.
“Baru-baru ini terdapat usaha pihak tertentu menafikan kualiti barangan KR1M berbanding produk berjenama lain termasuk tuduhan kedai lain jual lebih murah dan berkualiti berbanding KR1M. Perlu dijelaskan bahawa sebarang perbandingan perlu dilakukan secara adil.
“Namun, tuduhan-tuduhan itu akhirnya dibuktikan tidak berasas. Apa yang penting kerajaan mengambil tahu bagi memastikan ia selamat dan berkualiti berbanding produk berjenama terkemuka. Berkaitan tuduhan itu, kita rasa kesal sebab ada pihak yang mungkin tidak selesa melihat kerajaan prihatin terhadap rakyat.
“Setelah digembar-gemburkan bahawa produk KR1M tidak menepati kualiti, Kementerian Kesihatan telah mengambil beberapa sampel dan didapati 13 daripada produk KR1M yang dikatakan melanggar peraturan makanan itu sebenarnya hanya dari segi teknikal pelabelan serta komposisi,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr. Yeow Chai Thiam yang meminta penjelasan kerajaan berhubung pertikaian terhadap kualiti produk KR1M.
Lian Hoe berkata, selain Kementerian Kesihatan, pihaknya juga telah menubuhkan Unit Pemantauan bagi memantau produk yang dikeluarkan di KR1M supaya ia mematuhi perundangan makanan.
Menjawab soalan tambahan Senator Mumtaz Md. Nawi mengenai persaingan KR1M yang dikatakan mampu membuat kedai runcit lain ‘gulung tikar’, jelasnya, ia tidak akan berlaku kerana kerajaan turut menggalakkan pekedai atau peruncit lain untuk menjual produk-produk KR1M.
Terdahulu, dalam jawapan kepada soalan asal Chai Thiam yang ingin tahu lebih lanjut mengenai KR1M, ujarnya, KR1M dibangunkan dengan konsep menjual produk keperluan yang berkualiti pada harga rendah.
“Kerajaan juga menyasarkan untuk membuka 85 buah KR1M sehingga 2012 di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...