Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 7 December 2011

Polis tumpaskan sindiket dadah warga Afrika



NOOR Rashid Ibrahim menunjukkan dadah jenis kokain yang disorok dalam sebuah beg pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 7 Dis. - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah didalangi empat warga Afrika dan seorang rakyat tempatan yang dipercayai turut merekrut mangsa khususnya wanita untuk menjadi keldai dadah.
Kejayaan itu hasil tangkapan empat lelaki Afrika dan seorang wanita tempatan berusia antara 21 hingga 34 tahun dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini, kira-kira pukul 8.45 malam tadi.
Siasatan awal polis terhadap sindiket itu mendapati, wujud kegiatan merekrut keldai dadah dengan menawarkan pendapatan lumayan. Sindiket itu menyasarkan kaum wanita yang mengamalkan gaya hidup mewah dan bebas dalam pergaulan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, sebanyak 1.76 kilogram dadah jenis kokain dianggarkan bernilai RM500,000 disorok dalam ruangan khas sebuah beg yang diubah suai, turut dirampas dalam serbuan tersebut.
"Berdasarkan pasaran semasa, kita mengenal pasti dadah jenis kokain banyak dibawa ke negara Jepun, Thailand dan Korea. Berikutan itu, polis percaya dadah yang dirampas ini cuba diseludup ke negara-negara berkenaan.
"Kesemua mereka yang ditahan termasuk seorang pelajar kolej swasta kini direman sehingga 13 Disember depan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Rashid berkata, hasil kajian yang dilakukan ke atas kes tangkapan rakyat Malaysia yang didakwa menyeludup masuk dadah mendapati, kebanyakan mereka mengetahui dadah yang dibawa dan bukannya diperdaya.
"Pihak polis tidak menafikan ada warga tempatan yang diperdaya, bagaimanapun sebahagian besar yang ditahan mendakwa tahu 'barang apa' yang dibawa.
"Sehubungan itu, kita perlu berhati-hati supaya tidak wujud mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk meraih simpati orang ramai selepas mereka ditangkap dengan dakwaan diperdaya," katanya.
Jelas beliau, berdasarkan statistik tangkapan dadah juga, berlaku trend baru peningkatan tangkapan terhadap wanita yang dikesan terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah.
"Pada awal Oktober lalu, dua wanita ditahan atas kesalahan tersebut di Hulu Bernam, Selangor manakala di Pulau Pinang pula, dua wanita turut ditahan atas kesalahan yang sama," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...