Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 13 December 2011

Perlawanan dengan Sydney FC peluang Kim Swee uji pemain baru



PERTEMUAN dengan Sydney FC hari ini - pasukan tangga keempat Liga-A Australia selepas 10 perlawanan - membuktikan betapa reputasi Harimau Muda kian mendapat perhatian di rantau Asia.

Sydney FC yang bakal mengharungi perlawanan penting menentang Newcastle Jets FC pada 17 Disember, memilih skuad kendalian Ong Kim Swee yang hadir dengan gelaran pemenang pingat emas Sukan SEA, untuk persiapan mempertahankan kejuaraan musim lalu.
Bagi Kim Swee pula, bertemu penyandang juara Liga-A itu menjadi ujian terbaik buat anak buahnya dengan beberapa matlamat sudah ditetapkan sepanjang tiga aksi persahabatan dalam jelajah ke Australia kali ini.
“Kita perlukan lebih ramai pemain untuk mengisi skuad Harimau Muda A musim depan terutama dalam persiapan menghadapi Liga Singapura,” kata Kim Swee ketika dihubungi semalam.

“Namun matlamat utama saya adalah memberi peluang kepada beberapa pemain yang jarang diturunkan untuk membuktikan kemampuan selepas terlepas aksi bersama pasukan pada beberapa saingan kompetitif sebelum ini.

“Keputusan perlawanan tidak penting, sebaliknya kesungguhan pemain dan cara mereka menangani keadaan dalam perlawanan kompetitif ini akan memberi saya idea mengenai kekuatan dan kelemahan individu.

“Antara pemain yang ingin saya uji ialah penjaga gol berusia 20 tahun, Izham (Tarmizi Roslan) yang kerap dibayangi Khairul Fahmi (Che Mat) sebelum ini.
“Saya juga membawa beberapa muka baru untuk dinilai sama ada mampu mengikuti corak latihan serta permainan skuad ini atau tidak. Jika lulus, saya tidak teragak-agak untuk memikat mereka menyertai Harimau Muda A musim depan.”

Antara pemain bukan dari skuad Harimau Muda A atau B yang disenaraikan ke Jelajah Australia ialah penjaga gol Terengganu, Sharil Saari, penyerang Kuala Lumpur, Ahmad Hazwan Bakri dan Izuan Solahudin dari Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...