Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 7 December 2011

Parah diserang 3 lelaki berpedang


KOTA BHARU - Seorang pengumpul barang antik nyaris maut selepas diserang tiga lelaki bersenjatakan pedang samurai ketika berehat di rumahnya di Kampung Pulau Gajah, Sabak dekat sini baru-baru ini.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam pada Jumaat lalu, Abdul Malik Mamat, 52, putus jari hantu tangan kiri, hampir putus telinga kiri, patah kaki kiri dan cedera di muka selain lebam di anggota badan.
Abdul Malik berkata, ketika itu dia berehat selepas makan malam dan tinggal bersendirian di rumah setelah berpisah dengan isterinya yang turut membawa anak tunggal mereka.
"Tiba-tiba, tiga lelaki termasuk seorang daripadanya saya kenal muncul. Mereka meluru masuk melalui pintu hadapan yang terbuka sambil masing-masing memegang pedang samurai.
"Saya terkejut lalu mencapai sebilah pedang untuk mempertahankan diri dan berlaku pergelutan," katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini hari ini.
Abdul Malik berkata, kesemua lelaki terbabit melarikan diri dengan menunggang motosikal selepas salah seorang daripada mereka turut cedera dalam pergaduhan itu.
Katanya, dia kemudian dibawa ke HUSM untuk mendapatkan rawatan oleh seorang saudaranya yang kebetulan datang ke rumah.
"Saya mengenali salah seorang daripada mereka. Motif saya diserang mungkin disebabkan dendam kerana sebelum ini saya ada berselisih faham dengan lelaki tersebut," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa semalam.
Beliau berkata, polis telah menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan mangsa untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah menggunakan senjata.
"Kita juga melancarkan gerakan memburu tiga lelaki terbabit," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...