Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday, 8 December 2011

Nazmi ikuti latihan, perlawanan di Sydney


PEMAIN muda berbakat, Muhamad Nazmi Faiz Mansor dibenarkan mengikuti latihan dan siri perlawanan persahabatan di Sydney Australia bersama skuad Olimpik negara bermula hari ini biarpun masih perlu menjalani beberapa ujian bersama Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengesan masalah kekejangan otot yang sering menimpanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, pihaknya masih perlu melakukan beberapa siri ujian perubatan dan biokimia selain menunggu keputusan ujian sampel darah pemain berusia 17 tahun itu.

“Nazmi akan pergi ke Sydney bersama skuad Olimpik dan kami tidak sempat melakukan ujian selanjutnya. Namun dia masih boleh meneruskan latihan dan beraksi dalam perlawanan seperti biasa. “Dr Jasmiza (Khuzairi Jasme) dari ISN bersama pasukan Olimpik di Sydney dan akan memantau perkembangan Nazmi di sana. Masalah kekejangan otot ini bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia biasa terjadi kepada mana-mana atlet. Namun kami tidak boleh mengambil mudah sebaliknya perlu mengenal pasti masalah sebenar Nazmi sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Nazmi yang membantu skuad bawah 23 tahun negara memenangi pingat emas Sukan Sea Indonesia bulan lalu dihantar ke ISN bagi menjalani rawatan atas permintaan jurulatih, Ong Kim Swee bagi mengesan masalah kekejangan otot yang dialaminya.

Di Sukan Sea lalu, Nazmi tidak dapat beraksi sepenuh masa dan hanya mampu bertahan dalam tempoh kira-kira 60 minit.

Malah pemain kelahiran Kuala Lumpur itu terpaksa diusung keluar pada babak kedua selepas meledak gol menarik ketika skuad Olimpik negara tewas 3-2 di tangan Bahrain dalam kelayakan Olimpik London.

“Nazmi pemain yang berbakat dan masih muda, kita perlu berhati-hati ketika mahu meningkatkan tahap prestasinya. Ada pemain yang berdepan masalah fizikal pada usia muda tapi diatasi apabila umurnya meningkat matang. Ia mengambil masa dan tidak boleh meningkat secara mendadak,” kata Ramlan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...