Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday, 6 December 2011

Mualaf cacat tiada MyKad bimbang nasib diri

KEPALA BATAS: Seorang mualaf bukan saja hidup merempat, malah bimbang tempat dia akan dikebumikan apabila meninggal dunia kelak berikutan Kad Perakuan Islam serta MyKadnya hilang kerana sering keluar masuk hospital.
Mohd Sabri Ang Abdullah, 47, memeluk Islam pada 2002 sebelum ditempatkan di Rumah Transit Permatang Tok Gelam di sini, bersama beberapa mualaf lain.

Namun, dia mengambil keputusan keluar dari rumah transit berkenaan selepas setahun berikutan tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di pusat berkenaan. Berikutan tidak mempunyai tempat kediaman, dia kini merempat dan tidur di masjid serta kaki lima kedai selain mengharapkan simpati orang ramai bagi mengalas perut.
Selain itu, kaki kanannya yang patah akibat terjatuh tiga tahun lalu menyukarkannya bergerak dan bekerja selain terpaksa bergantung pada tongkat sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas dimasukkan ke hospital.

Mohd Sabri berkata, sebelum ini dia tinggal di sebuah rumah kosong di Bagan Ajam, Butterworth tetapi bertindak keluar berikutan rumah berkenaan menjadi tumpuan penagih dadah.

“Ketika ini saya tidur di masjid lama dekat Bagan Ajam selain kaki lima bangunan sekitar Butterworth.

“Oleh kerana tidak mampu bekerja, saya terpaksa mengharapkan simpati orang ramai untuk sesuap nasi,” katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Dia ditemui merayau-rayau dan meminta bantuan orang ramai di Bagan Ajam sebelum dibantu seorang peniaga, Noor Hasni Saad, 45, yang bersimpati dengannya.
Mohd Sabri berkata, dia bimbang mengenai masa depannya kerana Kad Perakuan Islam serta MyKad hilang berikutan kerap keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan kakinya.

“Niat saya memang hendak meninggal dunia dalam Islam tetapi dalam keadaan sekarang, saya bimbang di mana saya akan dikebumikan nanti kerana tiada Kad Perakuan Islam.

“Saya tidak mahu jadi kes perebutan mayat seperti yang berlaku kepada beberapa mualaf sebelum ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...