Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Menyeksa diri mencari pahala


Setiap jemaah haji pasti menghadapi cabaran dan kesukaran yang berbentuk jasmani dan rohani semasa menunaikan ibadah haji.
Hal ini sememangnya tidak dapat dielakkan, sebagaimana cabaran dan kesukaran yang dialami oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail menghadapi hasutan syaitan, penyembelihan Ismail dan letihnya seorang ibu berulang-alik mencari air untuk seteguk minuman anaknya.
Namun dalam zaman serba moden ini, cabaran dan segala macam kesukaran jasmani atau fizikal boleh dan sepatutnya dapat kita hindarkan dengan kemajuan serba canggih dunia hari ini.
Ia juga sekali gus akan mengurangkan tekanan perasaan dan memberikan keselesaan serta ketenangan sewaktu beribadah.
Contohnya, bahang panas di dalam Masjidil Haram pada siang hari walaupun kipas angin berlegar kuat, kini dapat kita elakkan dengan memilih ruangan berhawa dingin yang disediakan di beberapa ruangan solat.
Begitu juga tangga eskalator yang mempercepatkan pergerakan dan mengurangkan kesesakan berebut-rebut menaiki anak tangga ke tingkat atas masjid.
Jelasnya, jemaah haji sememangnya tidak boleh menghindarkan diri daripada bersesak dengan orang ramai ketika mengerjakan sai, tawaf atau melontar di Mina, tetapi mereka boleh mengelakkan diri daripada kesukaran dan kepayahan yang sangat memenatkan.
Ini kerana banyak atau besarnya pahala dan ganjaran yang akan diterima, bukan berasaskan banyaknya kesukaran yang dihadapinya dalam melaksanakan ibadah tersebut. Sebaliknya ia bergantung kepada berbagai-bagai pertimbangan dan syarat.
Oleh kerana itu, sekiranya kita dapat mengerjakan ibadah haji dengan selesa dan tenang, mengapa kita mesti memilih jalan yang sukar dan banyak rintangannya?
Allah akan memberikan ganjaran terhadap jerih payah yang kita kerjakan, asalkan kita tidak dengan sengaja mencipta kesusahan dan mempersukar keadaan untuk mendapatkannya.
Dan haji mabrur yang diharapkan oleh setiap umat Islam, bukan dapat dicapai dengan cara menyusahkan dan menyiksa diri sehingga memudaratkan nyawa sendiri, apatah lagi nyawa jemaah-jemaah lain.
"Menyeksa diri untuk mendapatkan pahala yang banyak merupakan pengaruh daripada agama Hindu," kata Dr. Anisah Abd. Ghani.
Menurut beliau, ketentuan dalam ibadah solat bahawa semakin jauh perjalanan yang ditempuh menuju masjid, semakin banyak pahala yang akan diterima, kurang tepat jika diaplikasikan di dalam ibadah haji. Ini kerana ibadah haji memerlukan tenaga yang banyak dan hanya dapat ditunaikan dalam waktu yang terhad.
Tawaf, sai dan melontar misalnya menggunakan tenaga yang banyak. Oleh kerana itulah jemaah diminta mengurangkan ibadah-ibadah sunat ataupun solat di masjid sekiranya keadaan cuaca terlalu terik untuk menyimpan tenaga yang akan digunakan.
Ibadah haji katanya, sebagaimana ibadah-ibadah lainnya; puasa dan solat sebenarnya mengajar kita mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dan bersikap disiplin.
Akhlak yang dijaga ketat semasa berihram sepatutnya diamalkan dan dihayati untuk kehidupan seterusnya.
Dr. Yusof al-Qardhawi ketika diminta penjelasannya oleh seorang jemaah mengenai cara manakah yang terbaik dilakukan oleh jemaah haji yang akan ke Mekah; berjalan kaki ataukah menaiki kenderaan?
Dengan tegas beliau menerangkan, mengapakah jemaah harus berangkat ke Mekah dengan berjalan kaki. Sedangkan Allah telah memberi kemurahan rezeki untuk menggunakan kenderaan.
Jerih payah yang dilakukan oleh seseorang kerana ia tidak mempunyai pilihan lain, itulah yang akan diberikan ganjaran pahala dan merupakan cabaran dan ujian sebenar.
Jelasnya ia tidak memaksa diri dan mempersulit keadaannya untuk mendapatkan pahala.
Contoh peristiwa zaman Rasulullah s.a.w. ini sebaiknya kita jadikan iktibar dan teladan dalam menjalankan sebarang ibadah.
Pada suatu hari kaum Bani Salmah ingin menunaikan solat di masjid Rasulullah. Oleh kerana itu mereka pun bercadang akan keluar beramai-ramai meninggalkan rumah menuju pinggiran Madinah. Maksudnya sudah tentu untuk mendapatkan pahala yang lebih apabila berjalan agak jauh dari masjid Nabi s.a.w.
Apabila hal ini diketahui oleh Rasulullah s.a.w., baginda tidak mengizinkan mereka keluar dari rumah dan bersabda, "setiap langkah menuju tempat solat adalah kebaikan dan ia tercatat di sisi Allah. Akan tetapi tidak bererti untuk mendapatkan kebaikan, seseorang itu harus banyak berjalan kaki dengan menjauhkan yang dekat."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...