Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday, 11 December 2011

Mengharap hidup itu lebih indah


Selepas menjalani kehidupan sepanjang tahun 2011, maka kesimpulannya ialah 'Hidup itu indah.' Bukanlah sepanjang tahun 2011 itu tidak ada tragedi atau perkara-perkara yang menyusahkan hati.
Kematian, bencana, kemalangan, kesilapan dan pelbagai perkara yang tidak disukai berlaku sepanjang tahun 2011. Seperti juga dengan tahun-tahun sebelumnya. Sememangnya ada tahun yang dianggap lebih baik, dan ada yang kurang baik.
Lain orang, lain pengalamannya. Mungkin bagi sebahagian orang, 2011 lebih baik daripada tahun terdahulu. Tetapi tidak pula bagi orang lain.
Apa yang berlaku, baik disukai atau tidak adalah takdir. Hukum alam yang telah ditentukan oleh Allah SWT menjadikan sebab akibat yang sebegitu rupa hinggalah ia menghasilkan sesuatu kejadian.
Bagi mereka yang meminati hal ehwal semasa, sejarah, anthropologi, sosiologi, arkeologi, geologi, ekologi, biologi khususnya evolusi dan kosmologi akan dapat meneliti bagaimana kejadian dan peristiwa berlaku menurut sebab akibat yang mempunyai hukum alam tertentu.
Hukum-hukum alam inilah yang ditetapkan oleh Allah SWT. Apabila disebut bahawa hanya Allah SWT yang berhak menetapkan hukum, maka ia bukan bermaksud kepada undang-undang semata-mata. Tetapi lebih mudah difahami bahawa Allah SWT yang menetapkan hukum alam.
Umpamanya, bagaimana hukum matematik menjadi sebegitu rupa. Manusia hanya menemui, memahami dan cuba menggunakan hukum-hukum itu untuk manfaatnya.
Hukum-hukum alam inilah yang menyebabkan manusia melakukan sesuatu tindakan, dan mempunyai perasaan terhadap apa yang berlaku.
Biologi, fisiologi, psikologi, neorologi dan segala ilmu mengenai manusia dapat menunjukkan bahawa hukum alam yang ditetapkan membuat manusia bertindak dan berasa terhadap sesuatu keadaan. Allah SWT sudah menetapkan hukum-hukum alam ini terhadap manusia. Ia menjadi takdir.
Maka jika dapat dihayati kebesaran Tuhan mengenai hukum alam dan kaitannya dengan manusia, maka tidak wajarlah seseorang itu memiliki pandangan negatif terhadap apa jua peristiwa. Hidup perlu bersikap positif dan oleh itu ia wajar dianggap indah.
Kebahagiaan
Mesej semua agama adalah kebahagiaan. Agama mengajar manusia supaya bersikap positif. Dengan adanya agama, seseorang itu akan dapat mengelak diri daripada bersedih. Dua sikap yang mampu menghalang seseorang daripada bersedih ialah sabar dan bersyukur. Cakap memang mudah. Sabarlah. Bersyukurlah. Tetapi bagi yang menanggung kesusahan dan keperitan, kata-kata itu seperti hanya menambah kesakitan. Tetapi nasihat itu tetap mempunyai kebenaran. Jika minda dapat dialihkan perhatian daripada kesusahan dan keperitan itu kepada menghayati nasihat sabar dan syukur, pasti kesannya adalah besar.
Justeru, terhadap apa yang telah berlaku pada tahun 2011, seseorang harus melihatnya dari kaca mata gembira, positif dan kesyukuran. Begitu juga dengan apa yang ada pada apa yang dijangka akan dihadapi pada tahun 2012. Harapan dan sikap optimis akan membawa seseorang itu berasa bahagia. Tidakkah Islam mengajar manusia supaya tidak putus harap, dan wajar sentiasa bersangka baik tentang masa depan?
Namun begitu, mesej utama al-Quran adalah ajakan manusia supaya berfikir. Maknanya walaupun seseorang itu wajar bersifat positif, tetapi ia harus juga terus berpijak pada bumi nyata. Realiti itu adalah hukum alam itu sendiri. Sabut itu timbul dan batu itu tenggelam adalah hukum alam. Ia realiti, dan itulah yang wajar menjadi hasil daripada usaha berfikir.
Antara realiti bagi Malaysia umpamanya ialah dalam soal ekonomi. Realitinya ialah kalau pertumbuhan ekonomi tidak dapat dipertahankan, maka sasaran Wawasan 2020 tidak akan dapat dicapai. Mungkin negara ini mampu maju hanya pada tahun 2025. Lambat sedikit pun tidak mengapa asalkan sampai juga.
Tetapi perlu diakuri realiti kemunculan China, India, Vietnam dan Indonesia yang akan menumpulkan daya saing negara untuk menarik pelaburan. Begitu juga realiti bahawa produktiviti negara ini yang sepatutnya lebih tinggi. Kalau tidak ada usaha dan kerajinan, bagaimanakah rakyat negara ini dapat menjana pendapatan tinggi?
Itu adalah realiti. Buat masa ini produktiviti ini terjejas dengan adanya banyak subsidi yang muncul dalam pelbagai bentuk.
Sedangkan pihak yang menerima subsidi ini pula bukan saja pihak yang susah dan memerlukan bantuan. Tetapi golongan senang turut menikmati subsidi ini. Malah pelancong yang datang ke negara ini juga menikmati subsidi ini.
Kerajaan telah memperkenalkan banyak rancangan ekonomi, termasuklah Model Ekonomi Baru. Begitu juga dengan apa yang disebut sebagai transformasi masyarakat.
Antara perkara penting yang hendak ditangani ialah memerangi jenayah. Sememangnya jenayah merupakan kisah duka melibatkan kematian, kesusahan dan penderitaan.
Tetapi jenayah berleluasa di negara ini tentunya mempunyai sebab-sebabnya. Ia hanya merupakan hasil daripada hukum alam yang berlaku.
Mengapakah kini rakyat Malaysia sudah tidak berasa selamat di negara sendiri? Pencuri, peragut dan perompak dari kalangan rakyat sendiri dan pendatang asing menjadikan hidup ini sukar hendak dianggap sebagai indah.
Tentulah rakyat negara ini amat sabar menghadapi ancaman jenayah ini. Tetapi kesabaran sebenar adalah berusaha untuk mengatasinya. Bukan menanggung begitu saja. Syukurlah Kuala Lumpur belum menjadi Johannesburg sebagai tempat paling tinggi kadar jenayah. Tetapi untuk menjadikan hidup ini indah, Malaysia mesti bebas jenayah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...