Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 9 December 2011

Memey menangis teringat Norman


LEBIH dua bulan melayari kehidupan sebagai seorang isteri, pelakon sensasi, Memey Suhaiza mengakui kehidupannya kini banyak berubah.
Apatah lagi, dia kini merasakan tiada lagi beban berat yang harus dipikulnya apabila mengenangkan kata nista dan caci maki masyarakat terhadapnya.
Ujar Memey lagi, selepas bergelar isteri kepada aktor kacak, Norman Hakim, dia masih lagi cuba menyesuaikan dirinya dengan status barunya sebagai seorang isteri.
"Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar dan apa yang boleh saya katakan, saya amat bahagia dengan kehidupan saya sekarang.
"Paling utama apabila saya dan abang (panggilan manja untuk Norman) tidak perlu lagi memikirkan apa yang hendak dikatakan kepada kami kerana sekarang ini kami sudah sah sebagai suami isteri.
"Jadi, kalau hendak keluar ke mana-mana sahaja, tiada apa yang perlu difikirkan lagi dan sesungguhnya kami amat gembira dengan apa yang kami lalui sekarang ini," jelas Memey sewaktu ditemui pada majlis perasmian Pameran Busana Perkahwinan Mutiara di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 25, mendirikan rumah tangga dengan Norman pada 24 September lalu di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.
Menyambung bicaranya, sudah menjadi tanggungjawabnya menjaga makan minum suaminya dan sepanjang dua bulan ini, dia memang ligat di dapur.
Memandangkan Norman suka makan di rumah dan mahu menikmati air tangannya sendiri, Memey sentiasa berusaha untuk memantapkan lagi skil memasaknya.
"Abang seorang yang ringkas dan dia aktif bersenam di gimnasium serta jarang makan nasi, maka, makanan yang perlu saya masak kebanyakannya jenis kukus, panggang dan bakar.
"Makanan barat menjadi keutamaan abang. Tetapi, kadang-kala, saya masak juga masakan Melayu kerana mahu ubah selera dan saya masak apa yang dia suka," jelasnya.
Sekadar mengusik Memey, apakah perutnya kini sudah berisi, sambil ketawa kecil, dia memberitahu:
"Belum lagi. Buat masa ini masih kosong lagi. Masing-masing sibuk dengan komitmen kerja. Apa pun, kami memang tidak merancang dan menerima rezeki yang datang."
Memang agak lama tidak bersua dengan Memey selepas majlis perkahwinannya yang gilang-gemilang itu.
Lalu, apabila melihat kelibatnya yang hadir pada majlis itu, pihak media agak terkejut melihat perubahan dirinya yang kelihatan sedikit gelap.
Melihatkan kulit wajahnya yang bertukar warna itu, Memey menjelaskan, semuanya berpunca daripada selaran matahari (sunburn) kerana sibuk menjalani penggambaran dua buah telemovie, Layar Impian dan Biar Waktu Menyapamu di Semporna, Sabah ketika ini.
Apatah lagi, Layar Impian menyaksikan Memey memegang watak sebagai seorang gadis kampung yang tinggal di sebuah perkampungan nelayan.
Justeru, hampir setiap masa Memey perlu berjemur di bawah matahari sehingga menyebabkan kulitnya menjadi gelap.
"Saya memang sukakan watak ini dan menganggapnya sebagai satu cabaran baru buat saya. Memang sebelum ini, abang mahukan saya mengurangkan aktiviti lakonan dan menumpukan perhatian kepada rumah tangga.
"Tetapi, perjanjian telah dilakukan lebih awal sebelum saya mendirikan rumah tangga lagi. Jadi, saya perlu meneruskan komitmen saya untuk dua buah drama itu.
"Sesungguhnya begitu perit buat saya untuk berjauhan dengan abang sehingga di awal saya berada di sana, saya menangis teringatkan suami.
"Mana tidaknya. Inilah kali pertama saya menjalani penggambaran di luar Semenanjung Malaysia dan berpisah sementara dengan suami dalam waktu yang boleh dikatakan agak lama juga. Tetapi, beberapa hari selepas itu, saya sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan," katanya yang bergandingan dengan Adi Putra dalam dua telemovie itu.
Jelas Memey lagi, sewaktu dia sibuk dengan penggambaran drama bersiri Nilapura di Ipoh, Perak, dia sanggup berulang-alik setiap hari bagi memastikan dia mempunyai masa bersama suaminya tercinta.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...