Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 15 December 2011

Memahami dosa-dosa besar


SEBAGAI manusia, sesungguhnya kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Manusia adalah makhluk Allah SWT yang mempunyai kelemahan dan seringkali melakukan kesalahan. Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumiddin, dosa bermaksud; "Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada kerana meninggalkan apa yang disuruh-Nya atau melakukan apa yang ditegah-Nya".
Dapat kita fahami daripada takrifan ini ialah dosa boleh terjadi dengan dua sebab. Sebab yang pertama ialah apabila meninggalkan apa yang disuruh oleh Allah SWT dan nabi SAW seperti meninggalkan solat fardu, tidak menunaikan puasa, enggan membayar zakat dan sebagainya. Sebab yang kedua ialah apabila mengerjakan apa yang dilarang oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW seperti membunuh, berzina, berjudi, terlibat dengan riba dan sebagainya.
Hanya Rasulullah SAW sahaja yang dipelihara oleh Allah SWT dengan sifat maksum iaitu tidak melakukan dosa. Ini untuk memastikan kesucian dan ketulenan wahyu yang disampaikan melalui baginda SAW dan untuk menjamin penerimaan manusia terhadap baginda SAW.
Sebaliknya manusia yang lain tetap melakukan kesalahan sama ada kecil atau besar, sengaja atau tidak sengaja. Namun, Allah SWT sentiasa memberikan hamba-Nya rahmat dan kasih sayang.
Bahkan, Allah SWT tidak sekali-kali menutup pintu hidayah kepada hamba-hamba untuk kembali kepada-Nya. Justeru, Allah SWT membuka seluas-luasnya pintu taubat. Sayangnya, kebanyakan manusia alpa dan lalai untuk melakukan taubat kepada-Nya sehinggalah masanya telah terlambat.
Apabila masanya telah tiba, maka sebesar manapun penyesalan itu tidak bermakna lagi. Allah SWT merakamkan dalam al-Quran tentang penyesalan mereka yang tidak melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan tidak sempat untuk bertaubat.
Antaranya firman Allah SWT: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin. (as-Sajadah: 12)
Dan firman-Nya lagi: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (al-Munafiqun: 9)
Allah SWT sebenarnya tidak pelik sekiranya ada hamba-hamba-Nya yang melakukan maksiat. Namun, yang menjadi kepelikan ialah apabila ada hamba-hamba-Nya yang melakukan maksiat, tetapi enggan untuk bertaubat kepada Allah SWT.
Oleh kerana itu, penyelesaian kepada kesalahan dan maksiat yang dilakukan itu ialah dengan cara kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat. Allah SWT Maha Pengampun. Sejauh mana pun kita melakukan dosa, maka jangan berputus asa untuk terus bertaubat kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman: Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri. Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi). (az-Zumar: 53-54)
Memandang remeh
Sebenarnya, dosa terbahagi kepada dua, iaitu dosa kecil dan dosa besar mengikut pandangan yang dikemukakan oleh majoriti para ulama.
Ini berdasarkan firman Allah SWT: Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). (an-Nisa':31)
Justeru, penting untuk kita mengenali dan memahami tentang dosa-dosa besar dan pada waktu yang sama jangan kita memandang remeh terhadap dosa-dosa kecil. Namun, apabila kita dapat menjaga diri dari melakukan dosa besar, maka akan lebih mudah buat diri kita untuk menjauhi dosa-dosa kecil.
Menurut Imam Ibnu Solah, tanda-tanda dosa besar antaranya
ialah;
lOrang yang melakukan dosa tersebut akan dikenakan hukuman hudud ke atasnya seperti dosa mencuri, berzina, minum arak, murtad dan sebagainya.
lOrang yang melakukan dosa tersebut diancam dengan azab api neraka, azab di alam barzakh dan azab-azab lain yang menggerunkan di dalam al-Quran atau sunnah seperti dosa memfitnah, mengumpat, enggan membayar zakat dan sebagainya.
lOrang yang melakukan dosa tersebut disifatkan sebagai fasiq dan gugur maruah dirinya.
lOrang yang melakukan dosa tersebut akan menerima laknat daripada Allah SWT seperti dosa terlibat dengan riba, rasuah dan sebagainya. (rujuk Minhajul Qasidin, Imam al-Maqdisi).
Insya-Allah dalam penulisan seterusnya, kami akan memperincikan satu persatu dosa-dosa yang dikenali sebagai al-kabair iaitu dosa-dosa besar sebagaimana yang dihuraikan secara terperinci oleh ulama-ulama Islam antaranya Syamsuddin Muhammad bin Qaimaz At-Turkumani, Al-Fariqi, yang lebih dikenali dengan gelaran Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...