Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday, 9 December 2011

Malaysia mampu atasi Korea


KUALA LUMPUR - Diundi bersama Ireland, Rusia, Chile dan Ukraine bukan persoalannya kerana halangan sebenar skuad bimbingan Tai Beng Hai ialah Korea Selatan pada Kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Dublin, Ireland pada Mac tahun depan.
Malaysia tidak mempunyai pilihan selain perlu menghalang penguasaan Korea Selatan yang ketika ini mendiami ranking keenam dunia berbanding skuad kebangsaan di tangga ke-14.
Selain Malaysia dan Korea Selatan empat lagi pasukan yang bakal beraksi di Dulbin rata-rata berada pada ranking 17 hingga ke-31 dan mereka tidak boleh dipandang mudah.
Rekod terbaru pertemuan memihak Korea Selatan yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas tipis 3-4 pada Kejohanan Trofi Juara Asia di Ordos, China, September lalu.
Malah, aksi Korea Selatan yang tidak begitu konsisten ketika beraksi dalam Trofi Juara FIH 2011 pada bulan ini di Auckland, New Zealand juga bakal menjadi peluang terbaik untuk skuad kebangsaan menundukkan pasukan tersebut.
Tewas dengan keputusan sama 1-6 kepada Pakistan yang menghuni ranking kesembilan dunia dan New Zealand (ke-7) menunjukkan bahawa pasukan Korea Selatan mampu dijinakkan jika Beng Hai mampu menemui ramuan terbaik.
Pada masa ini skuad bimbingan Beng Hai dianggap memiliki kelebihan daripada aspek pencapaian yang baik serta barisan pemain berpengalaman.
Setiap posisi juga dikawal oleh pemain lincah yang telah membuktikan kehandalan mereka ketika beraksi di pentas antarabangsa.
Di bahagian serangan Beng Hai mempunyai beberapa pemain bintang seperti penyerang Faizal Saari dan Tengku Ahmad Tajuddin A. Jalil, penjaga gol No. 1 negara, S. Kumar manakala pertahanan dikawal oleh pemain seperti Mazli Ikmar Mohd. Noor serta pakar pukulan sudut penalti Amin Rahim dan memiliki pemain tengah yang sering melakukan kejutan di dalam kawasan D lawan, Azlan Misron.
Beng Hai juga mengakui barisan pemain yang ada pada masa ini adalah yang terbaik serta tidak mempunyai perancangan untuk membuat rombakan pemain.
"Mereka telah mempamerkan prestasi yang amat baik sepanjang bersama skuad kebangsaan serta mampu menyumbang sesuatu untuk negara.
"Semangat yang ada di kalangan mereka juga amat tinggi dan kerana itu kita dapat mencapai sasaran yang ditetapkan," kata Beng Hai.
Berupaya mencapai sasaran Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) dalam kejohanan seperti Trofi Juara Asia di Ordos, China dan Cabaran Juara-Juara 1 di Johannesburg, Afrika Selatan menguatkan lagi keyakinan skuad kebangsaan mampu beraksi di Olimpik 2012.
Namun, kelemahan seperti lambat menyesuaikan diri dalam sesuatu kejohanan yang disertai perlu segera diatasi skuad kebangsaan sebelum melangkah ke perlawanan kelayakan tersebut.
Sebagai contoh dalam kejohanan di Ordos dan Johannesburg skuad kebangsaan dilihat gagal untuk mendapatkan sebarang mata pada saingan awal, sebaliknya hanya bangkit selepas perlawanan ketiga dan seterusnya.
Aksi pasukan kebangsaan ketika menentang India di Johannesburg pada saingan suku akhir adalah persembahan terbaik dipamerkan anak buah Beng Hai pada tahun ini.
Meskipun tewas kepada India dengan jaringan emas pada masa tambahan selepas terikat 4-4, namun corak permainan di Cabaran Juara-Juara 1 itu wajar diberikan pujian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...