Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 3 December 2011

Makan- makan : hanya RM20 untuk 50 menu

Makan-makan: Hanya RM20 untuk nikmati 50 menu

LOKASINYA jauh dari ibu kota tetapi ‘kekuatan’ yang ada padanya pasti membuatkan penggemar stimbot dan barbeku sanggup ke Kafe D’Manggis.
Terletak di Lorong Manggis, Kampung Cempedak, Kuang, lubuk menjamu selera beroperasi sejak setahun lalu menawarkan lebih 50 jenis hidangan untuk stimbot dan barbeku sama ada makanan laut, bebola ikan dan sayur-sayuran serta perapan ayam dan daging dengan perisa lada hitam dan sate.

Pilih apa saja dan makan sepuas hati kerana dengan hanya bayaran RM20 untuk dewasa dan RM10 (kanak-kanak empat hingga 12 tahun), pasti kedatangan anda untuk menjamu selera berbaloi apabila dihidangkan dengan aneka hidangan enak dan menyelerakan.

Pakej berkenaan merangkumi nasi goreng, minuman, buah-buahan, pencuci mulut serta aiskrim.


Pemiliknya, Jasmin Yusof, berkata kafe berkenaan dibuka di Kuang kerana ia tanah sendiri selain memberi ruang dan peluang kepada masyarakat mengadakan majlis keraian, perkahwinan, bengkel, seminar mahupun mesyuarat.

“Terlalu jarang kafe seumpama ini dibuka di luar bandar. Kami memilih konsep kafe dalam taman sebagai tarikan dan di luar bandar bagi mendekatkan komuniti bandar dan luar bandar.

“Kebanyakan pelanggan datang dari Rawang, Kuala Lumpur dan Klang. Tarikan lain di sini ialah ia tidak jauh daripada destinasi pelancongan Tasik Biru, Kundang,” katanya.

Kafe itu mampu memuatkan 700 orang pada satu-satu masa dan dibahagikan kepada empat ruang menjamu selera iaitu stimbot dan barbeku, laman santai, dewan terbuka dan bilik VIP.

“Pelanggan boleh memilih ruang makan disukai. Keseluruhan ruang makan berbumbung kecuali laman santai yang dibina tanpa bumbung untuk memberi pilihan pelanggan menjamu selera hidangan ala carte di kawasan terbuka,” katanya yang mengusahakan kafe itu bersama Shaharom Abu Sari dan Jamali Bandut.

Menurut Jasmin, pihaknya menggunakan slogan ‘makan sampai lebam’ iaitu pelanggan boleh makan sepuas- puasnya dengan bayaran berpatutan.

“Ada pelbagai pilihan untuk stimbot dan barbeku demi memenuhi cita rasa pelanggan iaitu ayam, daging, udang, ketam, sotong dan bebola.

“Untuk sayur, kami menawarkan cendawan tiram, putik jagung, kubis panjang, kubis bunga, tomato ceri, lobak merah, bendi dan kangkung.

“Kami turut menawarkan aneka mi seperti mi sanggul, mi segera, mi kuning dan kuetiau untuk stimbot selain telur ayam dan telur puyuh. Ruang menjamu hidangan ini mampu menampung 300 orang dalam satu masa,” katanya.

Jasmin berkata, ada 30 dapur stimbot dan gril daripada tembaga yang ditempah khusus daripada Terengganu.

Katanya, selain ruang memasak stimbot yang berbentuk manggis, tangkai dan penutupnya mempunyai ciri buah berkenaan.

“Kami menempah dapur stimbot diperbuat daripada tembaga kerana ia mampu mengekalkan panas. Ia selari dengan konsep kafe ini yang sarat dengan ciri tradisional seperti menggunakan atap nipah dan tiang pokok bakau,” katanya.

Ia dinamakan Kafe D’Manggis bagi mengekalkan nilai sejarah kerana tanah berkenaan sebelum ini kebun manggis, malah itu juga terletak di Lorong Manggis.

Menu sampingan yang boleh dipesan pelanggan ialah ikan bakar, ala Thai, ala carte, hidangan Barat, char kuetiau, rojak buah, sotong kangkung dan kerang bakar.

Kafe D’Manggis turut menawarkan perkhidmatan katering dengan menu ala kampung, nasi beriani atau nasi ayam D’Manggis. Setakat ini, 12 keluarga mengadakan majlis perkahwinan di kafe berkenaan.

ALAMAT: Lot 254, Batu 17, Kampung Cempedak, Lorong Manggis, Kuang 48050 Rawang, Selangor

WAKTU PERNIAGAAN: 5 petang hingga 12 tengah malam (setiap hari)

TELEFON: 03 60386844 /019 2331973

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...