Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 6 December 2011

Kenali Allah perkukuhkan akidah permantapkan iman


AKIDAH adalah ikatan keyakinan diri yang menyentuh hubungan antara hati, pemikiran dan jiwa seseorang terhadap satu keyakinan.
Berdasarkan Islam, akidah seseorang Muslim adalah apabila ia yakin mengenai agama Islam dengan percaya Rukun Iman, iaitu percaya kepada Allah SWT, percaya kepada Malaikat, percaya kepada al-Quran, percaya kepada Rasul, percaya kepada hari kiamat serta percaya kepada qada dan qadar.

Hasil daripada keyakinan ini akan membawa kepada lahirnya kesedaran dan kesanggupan menunaikan segala kewajipan ditetapkan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Dalam kehidupan pada zaman penuh cabaran ini, kita perlu memastikan akidah diri dan keluarga kita serta masyarakat Islam secara keseluruhannya tidak tergadai dalam apa juga keadaan sekalipun.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang beriman, kita seharusnya tidak melupakan peranan kita dalam mengukuhkan akidah dalam diri kita.

Sebagai ibu bapa pula, hendaklah kita mendidik anak kita mengenal Allah dan berusaha menanamkan akidah yang kukuh selain menitikberatkan ilmu lain.

Tiada gunanya jika cemerlang di dalam pendidikan atau mempunyai pekerjaan hebat jika tiada keimanan mendalam terhadap Allah sehingga mengabaikan perintah atau melakukan perkara yang dilarang dan dibenci Allah SWT.

Ini dapat dilihat dalam sejarah dakwah Rasulullah SAW, di mana ketika di Makkah, perkara pertama dilakukan baginda adalah mengajar serta mendidik sahabat mengenai akidah dan keimanan hingga kukuh bagi membolehkan mereka diajar dengan perkara serta ilmu bermanfaat lain.
Di sini secara jelas menunjukkan, dalam usaha memantapkan kualiti ummah, umat Islam terlebih dulu perlu memantapkan iman dalam diri menerusi akidah sebenar.

Ini kerana dinyatakan, tabiat yang tidak menitikberatkan akidah akan menyebabkan manusia berada dalam keadaan iman yang rapuh dan terdedah pula kepada kelekaan dan mengabaikan segala larangan Allah.

Oleh itu, perkara pertama perlu dilakukan seseorang itu adalah mengenal Allah SWT dan mempercayai balasan terhadap setiap perbuatan, selain qada’ dan qadar yang berlaku.

Kemudian, kita dituntut untuk terus menguatkan akidah dalam diri dengan melakukan kewajipan yang diperintah seperti solat, zakat, puasa dan menunaikan haji jika berkemampuan.

Bukan saja menunaikan kewajipan, seseorang yang ingin menanamkan akidah mesti tahu perkara yang dilarang Allah dan Rasul-Nya supaya dapat menghindari perbuatan seperti berzina, meminum arak, berjudi, menderhaka pada ibu bapa, mengabaikan tanggungjawab, menyebarkan fitnah dan yang bertentangan dengan hukum Islam.

Justeru itu, tidak boleh tidak, kita perlu memperuntukkan masa untuk mempelajari perkara ini.

Dengan akidah kukuh, jiwa seseorang Muslim itu tidak dapat diganggu gugat walaupun seseorang itu diancam nyawanya dan percaya setiap yang berlaku adalah ketentuan dan ujian Allah SWT.

Justeru itu, dalam memperkasakan akidah serta iman, kita perlu menuntutnya daripada guru bertauliah, yakni ilmu serta pengajaran daripada ahli ulama dan bukan hanya kepada seorang guru semata-mata. Ia agar kita dapat membezakan antara mana ilmu lebih bermanfaat selain mengutip serta membuka minda.

Mudah-mudahan dengan pengukuhan akidah dalam diri kita dan masyarakat secara umumnya, akan dapat membantu kita mewujudkan masyarakat Islam bertakwa serta beramal soleh, seterusnya membentuk menjadi masyarakat Islam yang cemerlang dalam menuju arus kemodenan semasa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...