Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 6 December 2011

Kawal cemburu anda...


IPOH - Insiden seramai 1,200 penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terkandas gara-gara panggilan bom palsu di landasan dari Bidor ke Tanjung Malim awal pagi Khamis lalu telah mendedahkan cerita lain.
Siasatan polis mendapati insiden yang mencetuskan kemarahan ribuan penumpang KTMB itu sebenarnya berpunca daripada tindakan seorang lelaki yang cemburu dan tidak rela melepaskan kekasihnya pergi berkursus di Kuala Lumpur pada hari itu.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan, lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai ejen jualan langsung di Teluk Intan itu diberkas pada pukul 6.10 petang kelmarin.
"Hasil siasatan, lelaki itu mengaku membuat panggilan palsu tersebut kerana menghadapi masalah peribadi dengan teman wanitanya.
"Dia mengaku membuat panggilan itu bagi menghalang teman wanitanya yang menggunakan perkhidmatan kereta api tersebut untuk pergi berkursus di Kuala Lumpur," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Gara-gara panggilan palsu yang dibuat pada pukul 1.45 pagi Khamis lalu, perkhidmatan kereta api itu tergendala selama 13 jam dan seramai 1,200 penumpang terkandas apabila KTMB menghentikan perjalanan kedua-dua laluan bagi tujuan keselamatan dan siasatan.
Pasukan polis dari Tapah dan sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) dari IPK negeri juga terpaksa membuat pemeriksaan di landasan kereta api sepanjang 76 kilometer itu.
Hasil pemeriksaan, polis menemui satu bonggol tinggi ditanam berhampiran sebuah jambatan di Kilometer 259.25 berhampiran Sungai Pekan Lama, Sungkai, mengandungi sebuah botol plastik air mineral dan segulung tikar plastik.
Mohd. Shukri berkata, lelaki itu kini direman sehingga 8 Disember ini dan disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun dan denda atau kedua-duanya.
"Saya menasihati orang ramai agar jangan mengambil tindakan sedemikian kerana ia menyusahkan orang lain selain merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
"Pihak polis juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang membuat panggilan palsu seperti itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...