Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 9 December 2011

Kasih janda

KOTA BHARU: Walaupun baru bercerai dua minggu lalu, namun atas dasar perikemanusiaan seorang wanita sanggup menjaga bekas suaminya yang menghidap penyakit angin ahmar yang dideritai sejak sebulan lalu.
Raja Samsiah Raja Yusof, 46, berkata, ia adalah kerelaannya sendiri kerana tidak mahu bekas suaminya, Mohd Noor Wahab, 53, disisihkan apatah lagi dia banyak berkorban untuk keluarga ketika sihat.

“Demi anak-anak, saya tetap membantu suami. Saya tidak mahu dia (bekas suami) disisihkan. Walaupun sudah berpisah menjadi tanggungjawab kami anak beranak menjaganya sejak dia menghidap angin ahmar sebulan lalu.
“Kini tiba masanya saya berkorban untuk menjaga bekas suami, selain meneruskan kehidupan memandangkan kami mempunyai enam anak,” katanya yang di temui di Perumahan Desa Darulnaim dekat Pasir Tumboh, semalam, ketika Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani, menziarahi Mohd Noor yang sudah 13 tahun bersara daripada tentera.

Muhammad turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Mohd Noor serta seorang lagi pesara tentera, Ibrahim Yaakob, 77, di Peringat, dekat sini.

Raja Samsiah berkata, sejak berpisah dengan suaminya itu dua minggu lalu, anak-anaknya tidak dapat menjaga bapa mereka sepenuh masa kerana masing-masing bekerja, seorang di Kota Bharu dan seorang lagi di Pulau Pinang manakala seorang lagi, Nik Mohd Aswadi, 24, adalah orang kelainan upaya (OKU) dan dua lagi masih bersekolah iaitu, Nik Amirah, 16, dan Nik Mohd Azrul, 13.

“Sejak bekas suami sakit, wang pencen RM350 banyak digunakan untuk keperluannya termasuk rawatan selain menyara anak bersekolah.

“Bagaimanapun, Nik Mohd Aswadi menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan sejak dua tahun lalu,” katanya.
Bekas suaminya bekerja sebagai pemandu van sekolah tetapi sekarang tidak lagi mampu bekerja kerana terlantar di rumah.

Raja Samsiah berterima kasih kepada PBTM yang sudi menyampaikan sumbangan kepada bekas suaminya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...